Kebajikan Masyarakat Siam Baling Sentiasa Dibela - Abdul Azeez
BALING, 26 Feb (Bernama) -- Tiada istilah pilih kasih dalam usaha kerajaan menyalurkan bantuan kepada orang ramai termasuk masyarakat Siam di daerah ini.
Anggota Parlimennya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, setiap rakyat yang memerlukan bantuan akan dijalankan secara adil tanpa mengira kaum mahupun fahaman politik.
"Sejak dahulu lagi kerajaan sentiasa membantu semua kaum dan masyarakat Siam tidak terkecuali.
"Buktinya, lebih kurang 2,000 masyarakat Siam yang berada di enam buah kampung di sini telah mendapat pelbagai bantuan yang sama rata seperti yang diterima masyarakat lain," katanya ketika ditemui ketika melawat Wat Kampung Tas di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pembangkang yang mendakwa masyarakat Siam di Baling terpinggir daripada menerima bantuan kerajaan.
Tambah Abdul Azeez, sehingga kini lebih 10 buah rumah telah dibaik pulih dan dua buah rumah telah dibina baharu termasuk sebuah rumah baharu dibina bagi menggantikan rumah yang terbakar baru-baru ini.
"Kami juga membaiki lantai dewan serta beberapa prasarana yang berada di sekitar dewan wat ini termasuk menyediakan 30 lampu limpah bagi memudahkan penduduk di sini menjalankan aktiviti keagamaan dan sebagainya," katanya.
Abdul Azeez juga menjelaskan, pihaknya juga sedang melaksanakan pembinaan dewan terbuka yang lengkap dengan sistem pendawaian serta menurap jalan di sekitar setiap rumah ibadat.
Beliau juga meminta masyarakat Siam jangan menafikan bantuan yang dihulurkan kerajaan semata-mata terpedaya dengan hasutan pihak pembangkang.
"Mereka akan menggunakan bermacam cara untuk menghasut masyarakat dan kerana itu, saya berharap masyarakat Siam tahu menilai tohmahan tersebut," katanya.
-- BERNAMA