Kemakmuran Terengganu Hanya Dapat Dikecapi Bersama BN
KUALA NERUS, 26 Feb (Bernama) -- Kemakmuran yang dikecapi rakyat Terengganu kini hanya dapat dikekalkan jika mereka terus memberikan mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk memerintah negeri ini pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kelak.
Sejarah telah membuktikan hanya BN sahaja yang layak mentadbir Terengganu kerana telah mempunyai pelan pembangunan strategik hasil gabungan kepimpinan terdahulu dan kini yang diketuai oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.
Berbanding ketika negeri ini ditadbir PAS pada 1999 hingga 2004, Terengganu telah mengalami zaman gerhana ekoran pertumbuhan ekonomi yang terencat akibat kelemahan pentadbiran.
Justeru, kehadiran 40,000 pengunjung pada hari perasmian Ekspo Terengganu 2018 yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di perkarangan Kompleks Sukan, Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini harus diterjemahkan dalam bentuk undi yang menyokong BN pada PRU14 akan datang.
Rata-rata rakyat Terengganu yang ditemui Bernama pada ekspo hari ini turut menyokong program seumpama ini yang secara tidak langsung mempamerkan sisi terbaik negeri Terengganu sepanjang pemerintahan BN.
Terdapat tiga kluster yang menjadi nadi utama ekspo iaitu kluster negeri, portfolio dan daerah yang memaparkan sisi istimewa produk masing-masing sekali gus membuktikan perancangan dan pelaksanaan berfokus yang dilakukan oleh kerajaan negeri Terengganu banyak memberi faedah secara langsung dan tidak langsung kepada rakyat.
Seorang peniaga, Abdullah Embong, 45, seperti juga pengunjung yang lain senada merasakan ia adalah satu langkah terbaik yang dijalankan oleh kerajaan negeri Terengganu terutama dalam mempamerkan kejayaan yang telah dicapai selama ini.
"Ekspo sebegini sebenarnya ia bersifat lebih interaktif, kita selitkan dengan kejayaan yang kita dapat, di samping pelbagai aktiviti sampingan yang mencerminkan budaya Terengganu itu sendiri.
Orang sekarang juga dilihat lebih berminat untuk pergi ekspo sebegini daripada kita pergi ceramah, perlu duduk dalam dewan untuk bagi tahu kejayaan demi kejayaan yang kita capai.
Lebih bebas di samping ia mungkin boleh dijadikan sebagai aktiviti tahunan negeri Terengganu. Cuma pelancarannya mungkin boleh dibuat pada hari cuti supaya ia boleh jadi aktiviti sampingan khususnya kepada masyarakat Terengganu," katanya.
Bagi usahawan seperti Rofie Ali yang menjual anak benih pokok durian, merasakan ekspo berkenaan memberi impak kepada usahawan sepertinya di mana sepanjang dua hari jualan di tapak ekspo ini, beliau telah memperoleh hasil jualan sebanyak RM3,000.
"Ekspo yang diadakan sebegini harus diadakan secara berterusan kerana ia merupakan satu saluran yang terbaik buat usahawan. Malah ia menjadi satu produk tarikan pelancongan untuk negeri ini, katanya.
Inisiatif kerajaan negeri ini memberi aspirasi baharu kepada golongan muda untuk cemerlang bukan sahaja dalam pendidikan malah bidang permotoran yang ditonjolkan pada ekspo ini.
-- BERNAMA