Usaha Bashah Menangi Hati Rakyat Kedah




ALOR SETAR, 27 Feb (Bernama) -- Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu, Barisan Nasional (BN) berjaya merampas kembali kerajaan negeri daripada PAS, yang menguasai negeri itu sejak 2008 hingga 2013.

Dengan kemenangan itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dilantik menjadi menteri besar, namun ia tidak bertahan kerana pada 3 Feb 2016, beliau meletak jawatan selepas hilang sokongan majoriti di DUN.

Tempat Mukhriz kemudiannya digantikan ADUN Bakar Bata Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Isu pertukaran tersebut menjadi kecoh seketika di Kedah tetapi Ahmad Bashah dilihat tidak begitu mempedulikan perkara itu, sebaliknya lebih menumpukan perhatian kepada tanggungjawab dan amanah baharunya.

Untuk mengetahui kisah selanjutnya, ikuti temu bual Penolong Editor Bernama Kamarul Ariffin Md Yasin, Ketua Biro Kedah Zabidi Ishar dan wartawan Hasnah Jusid, Nurrul Huda Ahmad Luthfi serta Ima Aimi Nadia Ibrahim bersama beliau baru-baru ini.

Berikut adalah transkrip temu bual Bernama dengan Ahmad Bashah:

Bernama : Setelah menerajui kepimpinan kerajaan negeri, apakah nilai yang Datuk Seri paling tekankan agar rakyat terus yakin dengan kerajaan sedia ada?

Ahmad Bashah: Pertama sekali saya membawa konsep muafakat. Muafakat inilah yang menjadi inti untuk kita membawa masa depan Kedah. Kalau semua rakyat berpakat, semua orang bermuafakat segala perancangan dan apa kita harap boleh berlaku serta boleh dilaksanakan.

Sebab itu kita perlu permuafakatan dalam konteks apa pun. Dulu usung rumah, rumah kita boleh ubah dari satu tempat ke satu tempat, konsep muafakat. Lepas itu rakyat kena ada kepercayaan dan keyakinan, baharu boleh teruskan dengan perancangan.

Bernama: Bila BN kembali menang di Kedah, harapan rakyat Kedah sememangnya terlalu tinggi. Bagaimana Datuk Seri dan kerajaan negeri berhadapan dengan harapan menggunung rakyat itu?

Ahmad Bashah: Bila orang bagi balik dekat BN, memang jangkaan supaya kerajaan buat sesuatu di Kedah. Jadi itu yang kita kena buat. Bukan saja kerajaan negeri, kerajaan persekutuan juga, sebab kita in line (selari), sini kerajaan BN, di pusat pun BN. Sebab itu kita dapat pelbagai pembangunan di Kedah, dari segi pembangunan infrastruktur kita pun dapat. Dalam bidang pendidikan, dulu KUIN (Kolej Universiti Insaniah) rakyat nak jadi universiti, sekarang sudah bertukar status secara rasmi sebagai Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah (UniSHAMS). Rakyat kena nilai dan tengok perubahan yang berlaku walaupun macam tak nampak tapi pembangunan itu boleh dirasai. Jangan nafikan yang kita ada perubahan, kalau tanya pembangkang mereka tanya Ahmad Bashah buat apa...mereka cuba kelirukan rakyat kata tak buat apa. Saya nak habaq ada projek sudah take off (berjalan), ada yang sudah dirancang dan dilaksanakan, kita nak supaya depa sekali lagi diberi kepercayaan.

Bernama: Sejak menjadi Menteri Besar dan hingga kini, Datuk Seri menjadi serangan pembangkang dan netizen dalam media sosial. Tetapi kebanyakan serangan itu lebih bersifat peribadi dan Datuk Seri seolah-olah tidak peduli dengan semua tohmahan ini. Apa pendirian Datuk Seri dalam hal ini ?

Ahmad Bashah: Saya tak respons kerana itu bukan tugas saya. Ini (serangan peribadi) rakyat boleh menilai...dari segi nak buat tuduhan dan cerita-cerita yang direka biarlah. Akhir sekali rakyat boleh tengok siapa yang benar, apa sebenarnya. Jadi kalau itu pendekatan depa ambil secara peribadi saya tidak kisah. Yang penting saya nak bawa masa depan Kedah, depa nak sebut apa ceritalah apa saja, kalau buat tuduhan biarlah mereka buat. Itu tidak mengganggu tugas dan tanggungjawab saya sebagai Menteri Besar, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan Pengerusi BN negeri... tidak mengganggu langsung pemikiran dan tumpuan saya dalam menghadapi PRU.

Bernama: Bagaimana kekuatan BN untuk terus menguasai kerajaan negeri?

Ahmad Bashah: Alhamdulillah dari segi persiapan dan juga tinjauan kita buat sepanjang persiapan menghadapi PRU, kita yakin Kedah terus kekal dalam tangan BN dan kita akan menang dalam PRU di Parlimen. Di DUN, Insha-Allah kita yakin sasaran kita sekarang ada 21 (daripada 36) dan kita punya sasaran 30 kawasan ​​​​​​. Saya percaya rakyat dapat menilai dan yakin pada BN untuk terus berkuasa di Kedah. Bagi kerusi Parlimen target (sasaran) kita 13 sekurang-kurangnya (daripada 15 kerusi keseluruhan) berbanding 10 ketika ini.

Bernama : Antara isu yang diperkatakan adalah mengenai kesihatan Datuk Seri yang menyebabkan muncul dakwaan Datuk Seri akan digantikan pada PRU nanti. Bagaimana kesihatan Datuk Seri sekarang ?

Ahmad Bashah: Semua orang boleh tengok saya, siang malam pagi petang, Alhamdulillah (keadaan kesihatan). Yang kemudian nanti kita tak tahu. Yang saya risau badan saya makin lama makin naik... jadi nak kena jaga juga jangan naik, berat sangat.

Bernama: Antara isu yang hangat diperkatakan dalam media sosial mengenai kerajaan negeri adalah isu air. Apakah pendekatan kerajaan negeri untuk mengatasi masalah ini ?

Ahmad Bashah: Isu air bukan di Kedah saja, di Selangor ada isu air, di Kelantan ada isu air. Di Kedah kita ada kawasan yang perlu kita tambah kapasiti loji bekalan air kerana loji ini kita bina berpuluh tahun dulu. Jadi dengan pembangunan yang ada dalam negeri Kedah, kelulusan pembangunan yang kita buat, isu air ini perlu kita tangani. Lima lagi loji akan dibina dan dinaik taraf kapasiti di seluruh Kedah dengan kos RM1 bilion. Bukan hanya di tanah besar, Langkawi pun kita bimbang kerana pembangunan pesat di Langkawi dan telah umum RM600 juta untuk selesai masalah air di Langkawi. Jadi kita buat supaya bekalan air selesai. Kita buat loji baharu, sambungan paip pada seluruh kawasan, paip air ini 40 hingga 50 tahun dulu jadi perlu diubah dan kos banyak. Dalam masa terdekat pada tahun hadapan bila lima loji ini siap insha-Allah masalah air di Kedah akan selesai. Kita bawa pelabur masuk, kilang besar, perumahan yang kita bina jadi ini semua keperluan tambahan bagi air, sebab itu loji ini kita jangka masa untuk 30 tahun akan datang sampai lebih 2040.

Bernama: Ramai penganalisis politik berpendapat atas kertas, BN dan UMNO susah untuk kalah di Kedah. Kalau kalah ia disebabkan masalah dalaman terutama sabotaj dalam kalangan anggota parti sendiri. Apa pendapat Datuk Seri ? Bagaimana perpaduan dalam kalangan anggota UMNO dan parti komponen BN ketika ini ?

Ahmad Bashah: Perpaduan dalam kalangan kita penting, kalau wujud perasaan bila tak jadi calon nak bagi parti kalah, kalau ada sentimen macam tu dia bukan pejuang tapi dia adalah pengkhianat parti. Kita orang parti, kita usaha, kalau dah kita dipilih Alhamdulillah, kalau tidak dipilih mungkin ada peluang lain, bukan semestinya wakil rakyat. Kalau kita ambil tindakan yang nak puaskan hati kita makna kata kita bunuh diri bukan orang lain bunuh kita. Jangan ada sikap itu dalam parti.

Bernama: Sewaktu BN menang ketika PRU dulu, Datuk Seri adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan juga Pengerusi BN negeri. Selepas menang, Datuk Seri tidak menuntut jawatan menteri besar, sebaliknya menyerahkan kepada Timbalan Datuk Seri. Bagaimana Datuk Seri menerima keadaan itu?

Ahmad Bashah: Bukan rezeki saya bila tak jadi MB Kedah (ketika itu), kita usaha untuk parti nak tebus balik kekalahan pada 2008. Saya tak pernah kecewa dan kecil hati. Itu hak perdana menteri, saya orang parti, bila parti buat keputusan saya terima. Dua hari sebelum mengundi pejabat perdana menteri umum kalau menang di Kedah Mukhriz akan jadi menteri besar, kita terus buat kerja bagi BN menang. Bukan rezeki saya, tak dapat jadi menteri besar (ketika itu). Yang penting kita tubuh kerajaan ambil balik kuasa itu. Yang penting kita kena buat sesuatu kerana kita diamanahkan untuk menang. Semua dapat rasai hasil kemenangan parti dan kita tubuh kerajaan. Anggota parti jangan harap sesuatu yang kita tak boleh dapat, tapi kalau kita berjuang makna kata kita adalah orang yang berjuang untuk parti...jangan sabotaj kalau tak dapat apa.

Bernama : Adakah BN dan UMNO Kedah sudah siapkan senarai calon PRU14?

Ahmad Bashah: Kedah belum lagi, kita tak dipanggil lagi untuk serahkan senarai calon. Tapi kita sudah teliti semua 15 parlimen dan 36 DUN, kita meneliti satu persatu dan tengok dari segi keperluan sama ada ada perubahan atau tidak. Sekarang kita sedang nilai semua kawasan di Kedah kerana kita nak di Kedah semua calon yang boleh diterima rakyat...´winnable and likeable´(boleh menang dan disukai). Kalau kata 'winnable' (boleh menang) saja orang tak suka, dia takkan ´winnable´ (boleh menang). Jadi kita hantar orang buat survey (tinjauan), sama ada untuk DUN atau parlimen, bergantung pada maklumat kita dapat, kalau orang tidak suka kita tidak akan bawa.

Bernama : Berapa sasaran Datuk Seri untuk calon baharu pada PRU nanti?

Ahmad Bashah: Kita akan lihat ikut keadaan. Mana-mana kawasan kalah perlu ada calon yang ditonjolkan yang boleh menang dan disukai untuk ambil balik kawasan itu. Kawasan yang sudah kita menang kita nak tengok performance (prestasi) wakil rakyat sedia ada, kita nak tengok dia punya rating macam mana, sama ada kalau kita sambung dia tu akan terus jadi 'winnable and likeable' (boleh menang dan disukai). Kalau calon tak betul ia akan gagalkan usaha kita.

-- BERNAMA