Pusat Media Melaka Salur Maklumat Sahih Pada PRU14




MELAKA, 27 Feb (Bernama) -- Selain daripada menyediakan kemudahan buat petugas media pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti, pusat media diselaras Jabatan Penerangan Melaka memainkan peranan penting menyalurkan maklumat yang benar dan sahih dengan kadar pantas.

Pengarah Jabatan Penerangan Melaka Shahnon Mohamad berkata penyaluran maklumat secara berpusat di pusat media yang akan ditubuhkan nanti diharap dapat mengatasi masalah berita yang tidak sahih dan tidak disahkan terutamanya di media sosial.

"Kita sedia maklum sekarang ini berada dalam zaman ledakan media sosial, segala maklumat masa sebenar diperoleh lebih awal terutama di media sosial.

"Namun media sosial ini beritanya tidak disahkan, jadi ini salah satu tujuan pusat media ini ditubuhkan bagi berita tidak benar diatasi," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pusat Media PRU14 di sini, hari ini.

Beliau berkata pusat media yang akan ditempatkan di bahagian lobi Menara Persekutuan, Ayer Keroh di sini mampu menempatkan kira-kira 40 petugas media pada suatu masa.

Katanya 12 petugas Jabatan Penerangan Melaka akan membantu menyampaikan maklumat terkini secara langsung kepada petugas media yang berdaftar sebaik sahaja pembubaran Parlimen, penamaan calon, tempoh berkempen dan pada hari pengundian PRU14 berlangsung, selain menjadi perantara antara media dan Suruhanjaya Pilihan Raya.

"Pusat media itu akan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk talian internet, WiFi, komputer, dan pencetak untuk kegunaan petugas media. Sehubungan itu semua agensi media di negeri ini perlu memastikan petugas mereka memiliki pas media sah dikeluarkan Jabatan Penerangan," katanya.

-- BERNAMA