MCA Yakin BN Mampu Rampas Kembali DUN Indera Kayangan
PADANG BESAR, 27 Feb (Bernama) -- Pengerusi MCA Perlis Datuk Chua Tee Yong yakin Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan untuk merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Indera Kayangan daripada pembangkang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Beliau berkata keyakinan itu bersandarkan perkembangan terkini menunjukkan MCA diterima baik pengundi khususnya kaum Cina dalam DUN Indera Kayangan berikutan banyak usaha dibuat oleh kerajaan pusat dan negeri untuk membantu rakyat.
"MCA Perlis telah mencalonkan tiga nama untuk dipilih bertanding di DUN itu dan tiga lagi bagi kerusi DUN Titi Tinggi, iaitu kerusi yang diperuntukkan kepada MCA," katanya kepada pemberita selepas menemui anggota Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dalam DUN Titi Tinggi di sini, hari ini.
Beliau berkata calon yang dicadangkan MCA negeri merupakan individu yang berwibawa dan disukai ramai.
-- BERNAMA