Kekal Kerajaan Sedia Ada, Banyak Pembangunan Perlu Dilaksanakan
TAWAU, 28 Feb (Bernama) -- Kerajaan Barisan Nasional (BN) sedia ada yang ditunjangi UMNO perlu dikekalkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) agar kesinambungan pembangunan dapat terus dilakukan dengan lebih teratur.
Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah Datuk Hamisa Samat berkata banyak lagi pembangunan yang perlu dilaksanakan antaranya menaik taraf lampu-lampu jalan termasuk menyediakan bantuan rumah rakyat.
"Kerajaan sedia ada tidak gagal dalam menunaikan manifesto pada PRU13 yang lepas terutamanya dalam membangun masyarakat khususnya di Sabah, hanya pembangkang sahaja yang sering mencari salah dan berapi-api menyatakan kelemahan kerajaan," katanya.
Hamisa yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu dekat sini berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas penutupan kursus jangka pendek masakan Cina dan laut yang disertai 30 wanita di sini hari ini.
Beliau berkata pembangunan tidak boleh dilaksanakan dalam sekelip mata sebaliknya memerlukan masa dan perancangan teliti untuk menjayakannya.
Katanya, hanya pembangkang yang datang pada musim PRU tetapi pimpinan kerajaan bekerja dan menyelami hati rakyat setiap masa.
-- BERNAMA