Kerajaan Yang Kukuh Dan Berkesan Kekalkan Kemajuan Ekonomi Di Sabah
Oleh Emin Madi
KOTA KINABALU, 28 Feb (Bernama) -- Ketua UMNO bahagian Papar Datuk Seri Abdul Rahim Ismail berkata Sabah memerlukan sebuah kerajaan yang kuat dan berkesan untuk menyediakan kemajuan pembangunan dan kemakmuran ekonomi lestari kepada penduduk majmuknya.
"Kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri diterajui UMNO di bawah kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman, telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan sokongan kewangan dan moral yang padu daripada kerajaan BN Persekutuan, terutamanya di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak."
"Pembangunan bagi kawasan bandar dan luar bandar di Sabah dijaga dengan baik berikutan persefahaman dan hubungan baik antara pemimpin Negeri dan Persekutuan."
"Kerajaan melaksanakan banyak program pembasmian kemiskinan berimpak tinggi dibiayai kerajaan Persekutuan, antaranya Mini Estet Sejahtera (MESEJ) dan Geran Komunal," katanya kepada Bernama.
Abdul Rahim, yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB), percaya masyarakat di Sabah lebih berkeyakinan kepada BN untuk mentadbir negeri ini.
Meskipun kita akui bahawa sebuah parti politik baharu sedang terdesak untuk cuba bertapak namun pada akhirnya matlamat utama adalah untuk menyediakan masa depan yang lebih baik bagi penduduk dan negeri.
"Dalam erti kata sebenar, kerajaan BN telah pun membuktikan rekod pencapaian mereka dari segi pembangunan sosio ekonomi, perkembangan ekonomi yang banyak mengurangkan insiden kemiskinan di negeri ini. Selama beberapa dekad, Halatuju BN (dasar kerajaan negeri) sentiasa meletakkan rakyat sebagai keutamaan."
"Amat menyedihkan apabila pembangkang nampaknya lebih leka dalam retorik politik dan membuat serangan palsu serta tidak berasas terhadap BN, bukannya menyediakan halatuju jelas tentang bagaimana mereka hendak menjaga kepentingan rakyat dan mentadbir negeri ini."
"Ia mungkin kelihatan mengagumkan apabila pemimpin pembangkang, terutamanya Warisan (Parti Warisan Sabah), berucap berapi-api sambil menabur pelbagai janji, namun hakikatnya adalah masyarakat lebih berminat untuk melihat kesinambungan kemakmuran ekonomi dan kestabilan politik di Sabah dek kerana ini dapat memastikan masa depan yang lebih baik bagi mereka," katanya.
Sabah, kata Abdul Rahim, belajar daripada pengalaman pahit sebelum ini, apabila politik berpecah-belah membawa kepada kesusahan, di samping ketidakstabilan ekonomi dan politik di negeri ini.
Beliau berkata seperti yang dapat dilihat, Sabah boleh dikatakan menikmati kemajuan ekonomi dan kestabilan politik disebabkan pemimpin BN tidak bermain politik atau sekadar menabur janji kosong.
"Kami sering turun padang untuk mendengar keperluan rakyat. Kami tidak bermain dengan sentimen rakyat, tidak seperti pembangkang yang menyebar segala bentuk pembohongan semata-mata untuk memburuk-burukkan gagasan yang memerintah," kata Abdul Rahim.
Abdul Rahim, yang juga pengerusi Kelab Penyokong Kerajaaan BN di Dewan Undangan Negeri Sabah,
mengaitkan kejayaan BN negeri dengan kepimpinan Musa yang merendah diri tetapi berkesan menerusi pendekatan beliau yang mesra namun proaktif dalam berurusan dengan pemimpin Persekutuan.
"Musa berjaya mendapatkan peruntukan yang sangat besar daripada kerajaan Persekutuan menerusi pendekatan yang bersesuaian dan bukannya menerusi konfrontasi."
"Lebih penting, UMNO-BN Sabah di bawah kepimpinan beliau mencapai kejayaan amat cemerlang dalam pilihan raya umum lepas sehingga Sabah disifatkan sebagai 'simpanan tetap' BN," katanya.
-- BERNAMA