Persempadanan Semula: Pendengaran Awam Di Selangor Mungkin Bersambung - SPR
SHAH ALAM, 28 Feb (Bernama) -- Sesi pendengaran awam berhubung bantahan terhadap syor kedua persempadanan semula bahagian pilihan raya di Selangor ditetapkan sehingga esok, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.
Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan sesi pendengaran awam itu yang bermula Isnin lepas (26 Feb) akan disambung sekiranya terdapat keperluan untuk berbuat demikian.
"Oleh kerana pendengaran awam ini libatkan peringkat negeri jadi kita buat cukup bersistem. Dua hari kita beri kepada parti politik diikuti pihak berkuasa tempatan dan besok kita dengar daripada pihak kerajaan negeri pula," katanya kepada pemberita selepas sesi pendengaran awam itu di sini, hari ini.
Tempoh bantahan bagi syor kedua persempadanan semula bahagian pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Selangor tamat pada 14 Feb lepas.
Mengulas lanjut, Mohd Hashim berkata selepas selesai pendengaran awam, SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan segala perkara berbangkit untuk dipertimbangkan sebelum menyerahkan syor pihaknya berhubung kajian persempadanan semula itu kepada perdana menteri.
"Mengikut peraturan, selepas selesai pendengaran bantahan, kita (SPR) akan sediakan laporan berkenaan syor atau cadangan kita kemudian diserahkan kepada perdana menteri.
"Selepas kita beri kepada PM (perdana menteri), keputusan muktamad terletak di tangan PM sama ada beliau nak bentang (syor) di Parlimen atau tidak. Bila nak bentang juga bergantung pada beliau (PM) kita (SPR) tiada kena mengena dah," kata Mohd Hashim.
Mesyuarat pertama penggal keenam Parlimen ke-13 yang juga persidangan terakhir sebelum pilihan raya umum ke-14 akan bersidang selama 20 hari bermula 5 Mac ini.
Pembentangan dan perbahasan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya dijangka menjadi antara agenda utama persidangan berkenaan selain membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.
Kali terakhir urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya dibuat pada 2003.
-- BERNAMA