PAS Mahu Tanding Lima Kerusi Parlimen Sarawak
MIRI, 1 Mac (Bernama) -- PAS Sarawak memutuskan untuk bertanding di lima kerusi Parlimen di Sarawak dengan parti itu mungkin meletakkan calon bukan Islam untuk satu daripada kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.
Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofrie Jaraiee berkata parti itu telah mengemukakan senarai calon untuk lima kerusi Parlimen itu kepada ibu pejabat PAS pada Isnin namun enggan mendedahkan nama kawasan Parlimen berkenaan.
"Semua calon PAS yang dicadangkan adalah lelaki berumur di antara 30 dan 60 tahun. Kita juga mungkin meletakkan calon bukan Islam, kita akan nyatakan semuanya selepas pembubaran Parlimen," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Pada pilihan raya umum 2013, PAS Sarawak bertanding di lima kerusi Parlimen tetapi tewas kesemuanya dan buat kali pertamanya dalam sejarah parti itu di Sarawak, ia meletakkan calon bukan Islam pada pilihan raya negeri 2016.
PAS menamakan bekas artis rakaman Iban, Clement Bayang, sebagai calonya untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Kakus, yang mempunyai majoriti penduduk Iban, tetapi tewas.
-- BERNAMA