BN Dungun Lancarkan Jentera Pilihanraya Umum Ke 14




DUNGUN, 1 Mac (Bernama) -- Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini melancarkan Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Parlimen Dungun, di Kampung Seberang Pintasan, di sini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri merangkap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengerusi BN Dungun , Datuk Din Adam turut hadir pada majlis pelancaran yang dihadiri kira-kira 10,000 pengundi Parlimen itu.

Sementara itu Din dalam ucapannya berkata hanya perpaduan dan kemuafakatan sesama anggota partI yang menjadi penentu kepada kalah menang BN di kerusi parlimen dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan itu.

Katanya, matlamat kebersamaan untuk menang itu dapat dicapai dalam memastikan susun, atur gerak kerja berjalan lancar dan sempurna di peringkat akar umbi lagi.

"Hari ini saya membuat satu program dengan lain-lain (pemimpin) yang ada keinginan untuk menang...meletakkan matlamat kebersamaan bukan sahaja di kalangan jentera parti, malah penyokong parti.

"Alhamdullillah, ini menterjemahkan kehendak masa depan melalui matlamat kebersamaan...Dungun memang kawasan BN....tahap sokongan sangat tinggi, Insya-Allah BN akan menang semula di kerusi parlimen, tiga kerusi DUN dan mengekalkan kemenangan di DUN Bukit Besi," katanya.

Pada majlis itu, Bendahari UMNO Bahagian Dungun, Datuk Zakaria@Ariffin Abdullah mengetuai lafaz ikrar taat setia kepada Presiden BN, Datuk Seri Najib Tun Razak, Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengerusi BN Dungun.

Intipati lain perakuan taat setia lafaz ikrar itu ialah jentera parti akan bekerja bersunguh-sungguh memastikan kemenangan BN dan tidak mensabotaj calon pilihan pucuk pimpinan pada PRU 14 nanti.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum ke-13, BN Terengganu tewas di tiga kerusi DUN (Sura, Paka dan Rantau Abang) serta kerusi parlimen, namun berjaya mengekalkan kemenangan di Bukit Besi.

-- BERNAMA