BN Mampu Tentukan Kebolehpasaran Rakyat
BEAUFORT, 1 Mac (Bernama) -- Barisan Nasional sahaja yang mampu menentukan kebolehpasaran rakyat agar mereka tidak terlepas peluang ekonomi yang tersedia, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini.
Beliau berkata kemampuan itu berdasarkan kesungguhan berterusan kerajaan memastikan kemudahan tersedia untuk kesenangan rakyat.
"Dulu, banyak jalan sukar dilalui kereta biasa di Sabah...terpaksa guna kenderaan pacuan empat roda. Sekarang, banyak jalan telah diaspal untuk melancarkan perhubungan antara daerah."
"Inilah kerajaan terbaik. Kerajaan BN sentiasa berusaha memberi peningkatan dalam kehidupan rakyat," katanya pada majlis bersama anggota UMNO Bahagian Beaufort di sini.
Menteri Pendidikan itu juga melahirkan keyakinan terhadap persediaan UMNO Beaufort dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang, terutamanya dalam usaha merampas semula kerusi negeri Klias.
Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Beaufort Datuk Isnin Aliasneh berkata jentera pilihan raya bahagian telah lama bersedia untuk memenangi hati pengundi pada PRU akan datang.
Pengundi di Beaufort kini berjumlah kira-kira 33,000 orang, yang mana 4,000 merupakan pengundi baharu, katanya.
-- BERNAMA