Pendaftaran PH: RoS Profesional, Isu Pendaftaran Berkait Siasatan PPBM - TPM





PUTRAJAYA, 1 Mac (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) bertindak profesional dalam mengendalikan isu pendaftaran Pakatan Harapan (PH).

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata isu pendaftaran gabungan itu turut berkait dengan siasatan yang sedang dijalankan pertubuhan itu terhadap kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Katanya penyelesaian terhadap permohonan pendaftaran PH tidak boleh mengenepikan isu PPBM begitu sahaja kerana parti itu merupakan komponen utama dalam gabungan pakatan pembangkang.

"Sebagaimana yang diperjelaskan oleh Ketua Pengarah RoS, penelitian yang dilakukan bukan sahaja meliputi permohonan pendaftaran Pakatan Harapan tetapi juga mengambil kira aduan-aduan yang diterima jabatan itu daripada anggota-anggota PPBM."

"PPBM adalah satu daripada komponen dalam Pakatan Harapan...jadi, saya berpendapat RoS sedang berlaku adil dan menjalankan tanggungjawab mereka secara profesional," katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Duta Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussien Saeed Qattan di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan beberapa pemimpin pembangkang pada 21 Feb lepas yang memfailkan saman terhadap RoS kerana mendakwa agensi tersebut gagal memberi maklum balas terhadap permohonan gabungan itu untuk didaftarkan secara rasmi.

Bagaimanapun, sehari kemudian kira-kira 1,000 anggota akar umbi dan bekas pemimpin kanan PPBM berhimpun di hadapan Ibu Pejabat RoS di Putrajaya bagi mendesak tindakan terhadap PPBM yang didakwa melanggar perlembagaan parti itu sendiri.

Timbalan Perdana Menteri juga menegaskan beliau tidak pernah campur tangan dalam urusan RoS kerana tindakan yang diambil melibatkan soal operasi, bukannya membabitkan dasar kementerian.

Berhubung isu melibatkan Tan Sri Robert Kuok, Ahmad Zahid berkata semua pihak diminta tidak terus mempolitikkan isu berkenaan dan menghormati kenyataan taikun itu yang menghargai setiap peluang yang diberikan kerajaan kepadanya.

-- BERNAMA