PRU14: Muka Baru Dalam Senarai Calon PBS - Ongkili





PENAMPANG, 1 Mac (Bernama) -- Parti Bersatu Sabah (PBS) bersedia melakukan perubahan dengan menampilkan beberapa muka baru sebagai calonnya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

Timbalan Presiden Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata senarai calon parti itu sudahpun dikemukakan kepada Pengerusi Barisan Nasional pusat dan negeri.

"Senarai calon yang dicadangkan PBS telah diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman."

"Bagaimanapun, kita boleh mengharapkan beberapa muka baru dalam senarai akhir," kata Ongkili selepas mesyuarat Majlis Tertinggi PBS yang dipengerusikan oleh presiden parti Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Ongkili, yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, telah ditugaskan untuk mengawasi perkara yang berkaitan dengan PBS.

Beliau memberitahu bahawa jentera pilihan raya PBS bagi 13 kerusi Dewan Undangan Negeri dan lima kerusi Parlimen kini dalam keadaan siap sedia.

"Percubaan juga dijalankan bagi menguji kesediaan jentera kita.

"Saya percaya dengan kerja keras, dilengkapi dengan strategi yang berkesan serta kerjasama penuh dari semua parti komponen BN, kami dapat memenangi semua kerusi yang diperuntukkan kepada PBS," kata Ongkili.

-- BERNAMA