BN Terengganu Guna Pendekatan Berbeza Pada Konvensyen 2018




KUALA TERENGGANU, 1 Mac (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Terengganu menggunakan pendekatan berbeza pada Konvensyen BN Terengganu 2018 yang berlangsung hari ini dan esok bagi memastikan semua anggota memahami kehendak utama parti bagi memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Konvensyen merangkap Ketua Penerangan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar berkata berbanding sebelum ini, konvensyen ini yang pertama kali melibatkan semua parti komponen BN iaitu MCA, MIC dan Gerakan.

"Setiap komponen parti akan dikehendaki membentangkan kertas kerja berdasarkan kejayaan program-program yang dibuat bagi menghadapi PRU14 dan perlu menerangkan apakah strategi untuk memenangi kerusi yang kalah dan mengekalkan kerusi yang menang.

Jika dahulu kita penuh dengan retorik yang berasaskan pendidikan dan ekonomi tetapi kali ini kita lebih kepada untuk memberi arahan dan nasihat kepada ahli-ahli kita.

"Jadi esok tuan puan akan berkongsi dan melihat pelbagai bahagian dan parti komponen membentangkan ciri-ciri skop kerja yang boleh kita ikuti..saya harap ia dapat memanfaatkan seluruh Barisan Nasional (BN) negeri," kata beliau dalam ucapan alu-aluan pada perasmian pembukaan Konvensyen BN Terengganu di sini hari yang disempurnakan Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu merangkap Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri merangkap Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari dan Pengerusi Perhubungan MCA negeri, Datuk Toh Chin Yaw.

-- BERNAMA