Nogeh Sedia Pertahankan Mas Gading Pada Pru14




Datuk Anthony Nogeh Gumbek

BAU (Sarawak), 1 Mac (Bernama) -- Ahli Parlimen Mas Gading, Datuk Anthony Nogeh Gumbek berkata beliau bersedia sepenuhnya untuk mempertahankan kerusi tersebut sekiranya dipilih semula sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata beliau sentiasa memberi khidmat kepada rakyat di kawasan Parlimen itu sejak pertama kali dipilih sebagai wakil rakyat pada PRU13 pada 2013.

"Sejak dipilih sebagai Anggota Parlimen, saya telah membawa banyak projek pembangunan di kawasan Mas Gading,' katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Opar di sini hari ini.

Selain projek infrastruktur seperti jalan raya, projek paip air graviti serta projek komunti melibatkan gereja-gereja, katanya, beliau turut membawa projek pertanian termasuk penanaman nanas MD2 dan pengeluaran durian Musang King.

"Wawasan saya untuk Mas Gading ialah mahu semua kemudahan di sini setanding dengan kawasan bandar serta peningkatan ekonomi penduduk tempatan," katanya yang juga setiausaha agung Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP).

Pada majlis tersebut, beliau menyampaikan sumbangan bantuan kewangan kepada 150 ibu tunggal serta mengumumkan peruntukanRM100,000 bagi projek air graviti untuk kampung berkenaan.

Terdahulu, Nogeh menyambut kunjungan sekumpulan 40 pelancong daripada golongan penduduk asli Taiwan ke kampung tersebut diketuai oleh Timbalan Menteri Majlis Penduduk Asli Taiwan (CIP), Calivat Gadu.

Pada PRU13, Nogeh yang pertama kali dicalonkan menang dengan majoriti 2,156 undi dengan mengalahkan calon DAP, Mordi Bimol, Patrick Uren dari STAR dan calon Bebas, Datuk Dr Tiki Lafe.

Tiki, yang sebelum ini daripada SPDP, merupakan Ahli Parlimen Mas Gading selama tiga penggal mulai 1999 hingga 2013.

-- BERNAMA