PRU14: Tahap Siap Siaga Polis Pada 99.9 Peratus - Zahid





KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Tahap siap siaga anggota dan pegawai polis di seluruh negara berada pada 99.9 peratus bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata siap siaga Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada PRU kali ini adalah luar biasa berbanding PRU terdahulu.

Beliau berkata PDRM juga telah melakukan kerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan seluruh proses pilihan raya berjalan lancar.

"Saya sendiri turun ke semua Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) supaya demokrasi diterjemah sepenuhnya untuk semua calon politik daripada semua parti politik dalam menggunakan hak mereka sebagai calon sepanjang PRU14 dijalankan.

"Dalam hal ini, kita ada kesiapsagaan luar biasa berbanding PRU sebelum ini kerana kita mahu tentukan bahawa pengundi-pengundi kita berasa selamat," kata pada sidang akhbar selepas mengadakan mesyuarat bersama pengurusan tertinggi PDRM di IPK Kuala Lumpur, di sini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kemuncak latihan bagi menghadapi PRU14 akan dilaksanakan esok yang melibatkan semua anggota dan pegawai polis di seluruh negara bagi memastikan siap siaga berada pada tahap 100 peratus.

"Oleh yang demikian, semua cuti anggota dan pegawai polis telah dibekukan sejak beberapa minggu yang lalu sehingga PRU14 selesai."

"Siap siaga anggota dan pegawai polis diambil kira daripada sebelum pembubaran dan tarikh pilihan raya sehingga ke penamaan calon dan waktu mengundi, " katanya.

Ahmad Zahid berkata segala gerak kerja PDRM telah disusun atur mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Bukit Aman.

Beliau berkata ia termasuk memastikan kelancaran proses pengundian sepanjang PRU14 di seluruh negara termasuk aliran lalu lintas.

Turut hadir adalah Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim.

-- BERNAMA