Persekitaran Ekonomi Malaysia Positif Menjelang PRU14 - Johari

Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Gambar fail Bernama)
KUALA LUMPUR, 2 Mac ( Bernama) -- Persekitaran ekonomi Malaysia dan sentimen pasaran masih kekal positif menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 yang akan datang, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata ekonomi mencatatkan prestasi baik pada 2017, merekodkan pertumbuhan 5.9 peratus dalam keluaran dalam negara kasar, yang kedua terbaik di ASEAN selepas Filipina, yang mencatatkan 6.7 peratus.
"Pengukuhan ringgit, pertumbuhan dua digit eksport dan peningkatan harga minyak mentah membawakan hasil yang lebih baik bagi kerajaan. "
"Justeru, dari segi persekitaran ekonomi, negara berada dalam keadaan yang baik," katanya pada majlis pelancaran Strategi Digital Takaful Malaysia, di sini, hari ini.
Mengenai prestasi ringgit yang lebih kukuh, beliau berkata, turun naik mata wang tempatan itu mencerminkan asas-asas ekonomi.
Beliau berkata walaupun ia juga bertindak balas kepada beberapa faktor luaran dan dalaman, dalam tempoh jangka panjang nilai akan ditentukan oleh asas-asas.
"Terdapat juga aliran masuk bersih dana asing yang kukuh dalam pasaran ekuiti Malaysia pada 2017 (RM10.33 bilion, yang tertinggi sejak 2012) dan momentum itu kekal positif memasuki tahun ini."
"Selain itu, eksport terus mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan disokong oleh pertumbuhan ekonomi global yang bertambah baik," katanya.
Pertumbuhan ekonomi dunia, yang diunjurkan kira-kira 3.9 peratus tahun ini akan terus memberi manfaat kepada Malaysia sebagai sebuah ekonomi terbuka, katanya.
Terdahulu, dalam ucap tamanya, Johari berkata, pendigitalan ekonomi akan berfungsi sebagai pemangkin bagi meningkatkan pendapatan negara kepada RM2 trilion dalam tempoh tujuh hingga lapan tahun akan datang.
"Penyelesaian inovatif menerusi teknologi digital dilihat sebagai komponen penting bagi transformasi negara ketika ia memulakan fasa pembangunan seterusnya di bawah Transformasi Nasional 2050," katanya.
Sementara itu Johari memuji inisiatif pendigitalan Syarikat Takaful Malaysia Bhd kerana ia sejajar dengan keseluruhan strategi yang dirangka Kerajaan dalam mengembangkan ekonomi digital.
Industri insurans dan takaful mencatatkan pertumbuhan ketara dalam tempoh beberapa tahun lepas dan dijangka kekal positif bagi beberapa tahun akan datang selari dengan pertumbuhan ekonomi negara, katanya.
"Insurans telah menjadi satu keperluan dan oleh itu syarikat insurans perlu membangunkan lebih banyak produk mampu milik yang mampu dibayar oleh mereka yang berpendapatan rendah yang mahu membeli insurans bagi melindungi keluarga mereka," katanya.
-- BERNAMA