RTC Sungai Rambai: Impian Untuk Rakyat Menjadi Nyata
Oleh Ahmad Muliady Abdul Majid
JASIN (Bernama) -- Sudah menjadi lumrah proses urbanisasi apabila penduduk yang tinggal di kawasan bandar menerima lebih banyak kemudahan daripada penduduk luar bandar.
Justeru kerajaan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berusaha gigih mencari jalan bagi memastikan rakyat negara ini mendapat kemudahan diperlukan tanpa mengenal kawasan tempat tinggal, maka inisiatif Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dilaksanakan pada 2012.
Menganjak ke masa kini, inisiatif itu membuahkan pelbagai hasil memberangsangkan bagi penduduk di daerah ini apabila RTC Sungai Rambai yang ditubuhkan pada tahun 2015 mampu menjadi pemangkin kepada transformasi kawasan luar bandar.
Bagi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman, impiannya kini menjadi kenyataan apabila RTC Sungai Rambai memenuhi pelbagai kemudahan bandar kepada penduduk luar bandar di kawasannya.
Sebagai wakil rakyat menjadikan Sungai Rambai sebagai sebuah bandar raya besar dihiasi dengan bangunan pencakar langit bukanlah impian utamanya, sebaliknya beliau mahu membawa segala kemudahan yang terdapat di bandar ke kawasan ini demi rakyat.
Sejak RTC Sungai Rambai ditubuhkan, pola kegiatan masyarakat setempat telah banyak berubah apabila mereka mula dapat menikmati pelbagai kemudahan seperti yang dirasai oleh penduduk bandar di bawah perkhidmatan satu bumbung.
"Antara perkhidmatan yang terdapat di RTC ialah pembayaran bil setempat, mendaftar kematian, urusan bantuan kebajikan, pembayaran cukai tanah, pendapatan dan lain-lain perkhidmatan.
"Kini terdapat 33 agensi di RTC setelah dua tahun penubuhannya masyarakat di sini serta sekitarnya tidak lagi perlu ke bandar Jasin atau Melaka untuk melakukan urusan tersebut apabila semuanya dapat dilakukan di sini," katanya kepada Bernama.
Manakala bagi memudahkan orang ramai bertemu beliau untuk sebarang aduan atau masalah, Hasan telah membuka pejabatnya di RTC Sungai Rambai. RTC BUKAN HANYA BERI PERKHIDMATAN
Beliau berkata RTC Sungai Rambai juga berperanan menjadi pusat masyarakat setempat menjana ekonomi dan pusat untuk merangka pelbagai program tranformasi seluruh DUN Sungai Rambai.
"Sebagai contoh beberapa projek mega yang dalam pembinaan ialah projek Kota Budaya, Aerodrome Sungai Rambai, pelabuhan Agro boleh menjana dan pemakin sosial ekonomi masyarakat.
"Banyak lagi projek yang dirangka termasuk dari sudut keagamaan seperti Akademi Al-Quran Sungai Rambai di Kota Laksana bagi memastikan anak sentiasa membudayakan Al-Quran," katanya.
Masih banyak lagi program pembangunan sedang diusahakan oleh kerajaan baik di peringkat kerajaan pusat mahupun negeri dalam membangunkan Sungai Rambai.
Antara projek pembangunan yang disusun di sini ialah menaik taraf Sungai Rambai sebagai daerah penuh dalam masa lima tahun akan datang.
"Selain itu, usaha untuk membina Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) sendiri nanti bagi melancarkan pembangunan Aerodrome Sungai Rambai dan pelabuhan Agro," katanya.
Hasan berkata dengan adanya kemudahan itu pelancong dan usahawan dari luar terutama dari Indonesia dan Singapura tidak perlu ke Lapangan Terbang Batu Berendam untuk urusan imigresen. PELAN PEMBANGUNAN
Hasan berkata rentetan daripada kejayaan RTC telah mendorong kerajaan meluluskan daerah kecil pada 1 Mac, 2017 yang membolehkan tumpuan terhadap pembangunan ekonomi, pendidikan, agama, infrastruktur serta pembagunan dan kebajikan masyarakat.
Rancangan pembagunan lima klaster yang dirangka dalam program pembangunan Sungai Rambai berjaya membuka mata banyak pihak dan mendapat reaksi positif dalam segenap lapis masyrakat tanpa mengira bangsa, agama mahupun fahaman politik.
"Saya sendiri sebagai wakil rakyat tetap melayan semua orang hingga mereka mudah mendekati saya dan menerima dengan positif rancangan pembangunan yang dibawa ke Sungai Rambai," katanya.
Dalam usaha membawa pembagunan ekonomi di Sungai Ramai, Hasan berkata beliau turut memberi perhatian kepada pembangunan modal insan agar ia dapat bergerak dan berkembang secara seiringan dalam mewujudkan sebuah masyarakat yang lengkap dari segala aspek.
"Saya ingin jadikan masyarakat di sini sebagai sebuah masyarakat yang dinamik agar mereka mampu hidup dengan lebih berdikari dan tidak hanya bergantung kepada kerajaan," katanya.
"Kita ingin lahirkan bangsa Melayu yang mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kejayaan bangsa lain, memandangkan bahawa 80 peratus daripada 21,000 penduduk Sungai Rambai terdiri daripada bangsa Melayu," katanya.
Hasan berkata pendekatan awal yang digunakan oleh beliau adalah mengubah cara berfikir orang Melayu daripada budaya menunggu dan melihat kepada merebut peluang yang ada.
"Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK) yang menjadi agen yang merubah hala tuju masyarakat menerusi Jawatakuasa Tangani Isu Usahawan yang bergerak dengan bantuan kewangan menerusi program usahawan yang sedia ada ditawarkan MARA, Tekun dan SME Coprt," katanya.
MANDAT KEPADA BN
Bagi memastikan segala perancangan pembangunan dapat diteruskan di sini, beliau menyeru kepada masyarakat setempat agar terus memberi kepercayaan kepada kerajaan pada Piliharaya Umum ke-14 akan datang.
"Kalau masyarakat Sungai Rambai tidak meneruskan sokongan kepada BN, yang akan rugi nanti bukannya orang lain tetapi adalah kita dan generasi akan datang," katanya.
Beliau berkata telah sekian lama, masyarakat Sungai Rambai bersama BN adalah tidak wajar sekiranya setelah lama bersama BN di tengah-tengah jalan masyarakat memberi kepercayaan kepada parti lain.
"Ibarat rakyat di sini sama-sama membina kapal terbang bersama BN tetapi bila tiba masa untuk 'Take Off' kapal terbang yang dipandu oleh BN di hiject oleh parti lain maka kapal terbang tersebut akan terhempas dan tidak akan sempat untuk terbang lagi," katanya.
Hasan berkata BN menang, maka rakyat akan senang dan jika BN kalah maka sebaliknya yang akan berlaku.
Pada PRU Ke-13, Hasan mewakili BN mengalahkan Kintan Man daripada PAS dengan majoriti 2,363 undi.
Berdasarkan Daftar Pemilih Suku Ketiga 2017 yang diwartakan pada 30 Nov, 2017, DUN Sungai Rambai memiliki 11,755 pengundi daripada keseluruhan 73,020 pengundi di kawasan Parlimen Jasin. Melaka mempunyai keseluruhan 491,716 pengundi.
BERNAMA