PRU14: BN Johor Tiada Masalah Pembahagian Kerusi




JOHOR BAHRU, 5 Mac (Bernama) -- Setiausaha Barisan Nasional (BN) Johor Datuk Md Jais Sarday menolak kemungkinan akan berlaku masalah agihan kerusi antara UMNO dan parti-parti komponen BN di negeri ini pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Beliau berkata kesemua pengerusi parti sudah pun mencapai kesepakatan berhubung perkara terbabit dan tidak timbul isu mengenainya.

Malah, menurut Md Jais, soal agihan kerusi juga tidak dibincangkan lagi dalam mesyuarat BN Johor setakat ini.

"Kita masih berpegang pada agihan lama (agihan kerusi pada PRU13), setakat ini tidak ada pertukaran dan saya juga jangkakan tiada perubahan," kata beliau kepada pemberita selepas mesyuarat BN Negeri di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini, hari ini.

Md Jais, yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri berkata kesiapsiagaan semua parti BN kini pada tahap lebih 90 peratus setelah mengambil kira kesefahaman mereka untuk mengadakan pelbagai program secara bersama.

Beliau juga berkata BN Johor akan mengadakan program gerak gempur di 20 kawasan Parlimen bulan ini bagi mendekati anak-anak muda dan program itu merupakan sebahagian daripada pendekatan BN Johor dalam PRU.

Menurut beliau, kawasan yang dipilih adalah berdasarkan beberapa faktor antaranya kerana kawasan Parlimen itu jatuh kepada tangan pembangkang dan menang dengan majoriti tipis.

"Kita akan melakukan program ini bagi mendekatkan anak-anak muda dengan pemimpin setempat, parti dan sebagainya," kata beliau.

-- BERNAMA