Rakyat Perlu Pastikan Wakil Rakyat Mereka Daripada BN - Musa





TUARAN, 6 Mac (Bernama) -- Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman hari ini mengingatkan rakyat negeri itu agar sentiasa memastikan kawasan mereka diwakili oleh Barisan Nasional (BN) bagi memastikan pembangunan yang berterusan.

Beliau berkata ini kerana wakil BN lebih mudah berhubung dengan kerajaan negeri bagi menangani sebarang permasalahan yang dihadapi rakyat.

"Sekarang wakil rakyat BN selalu datang kepada saya untuk meminta peruntukan.

"Saya daripada BN, mereka daripada BN, oleh itu kita boleh bekerjasama untuk membangunkan rakyat," katanya berucap pada Majlis Penyerahan Geran Tanah Program Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (Pantas) di Kiulu, dekat sini.

Beliau juga berkata sekiranya kawasan rakyat diwakili pembangkang, sukar untuk mereka datang kepada kerajaan negeri yang diterajui BN kerana berlainan fahaman politik.

"Tiada wakil rakyat daripada pembangkang berjumpa untuk meminta peruntukan demi rakyat kepada saya kerana kami berlainan fahaman politik," katanya.

Pada masa sama beliau menggesa rakyat agar menolak hasutan pembangkang yang hanya tahu membuat janji.

"Kita lihat sekarang kawasan yang diwakili oleh wakil rakyat pembangkang... apa pembangunan yang mereka telah buat? Mereka hanya tahu cakap sahaja," katanya menambah pemimpin pembangkang hanya muncul ketika musim pilihan raya dan hilang apabila pilihan raya selesai.

Mengulas mengenai majlis itu, Musa berkata kerjasama kuat dan jitu dalam kalangan pemimpin BN di Tuaran memastikan rakyat mendapat dapat manfaat daripada program Pantas yang dilaksanakan oleh kerajaan.

"Kita berterima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana telah menyediakan peruntukan untuk melaksanakan program Pantas di seluruh Sabah," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah Datuk Safar Untong yang turut hadir, berkata lebih 1,000 penduduk dari empat buah kampung di kawasan Lembah Kiulu telah menerima geran hari ini.

"Ia melibatkan 1,043 lot tanah di empat buah kampung iaitu Kampung Lokos, Kampung Tiong Ratau, Kampung Nulu dan Kampung Tiong Simpodon," katanya menambah lot tanah terbabit adalah sebahagian daripada 2,141 lot tanah yang diukur sejak 1 Feb 2015 hingga 30 Jan 2017.

Beliau berkata baki 1,098 lot akan diserahkan secara berperingkat.

-- BERNAMA