Sistem Trem Dirancang Di Putrajaya, Cyberjaya, Kajang Dan Bangi




KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Sistem perkhidmatan trem dirancang diwujudkan di Putrajaya, Cyberjaya, Kajang dan Bangi.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Mohd Azharuddin Mat Sah berkata suruhanjaya itu akan mula menyediakan Permohonan Cadangan (RFP) bagi projek berkenaan, yang dijangka siap antara tiga dan enam bulan.

"Projek ini akan mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk dilaksanakan mengikut fasa sebaik sahaja ia diluluskan dan kami akan pastikan ia diintegrasikan dengan perkhidmatan pengangkutan lain.

"Antara sebab Putrajaya dan Bangi dipilih adalah kerana jalan rayanya lebar dan sesuai dengan trem," kata beliau kepada pemberita selepas membentangkan Laporan Tahunan Pengangkutan Awam Darat 2017 di sini hari ini.

Beliau berkata sistem itu akan diintegrasikan dengan Transit Aliran Massa (MRT) 3, Express Rail Link (ERL) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) bagi menghubungkannya dengan Putrajaya Sentral apabila dilaksanakan kelak.

"Kajian tentang sistem (trem) ini dijalankan sepenuhnya oleh SPAD tahun lepas dengan merujuk kepada teknologi dari Taiwan, China dan Eropah," katanya.

Menurut beliau, perbelanjaan bagi pelaksanaan sistem perkhidmatan trem adalah 30 peratus lebih rendah daripada sistem monorel.

Mohd Azharuddin berkata trem merupakan penyelesaian pengangkutan yang lebih bersih, hijau dan cekap.

-- BERNAMA