Status Daerah Kecil Pemangkin Pembangunan Kiulu - ADUN





TUARAN, 6 Mac (Bernama) -- Penaiktarafan Kiulu sebagai daerah kecil menjadi pemangkin untuk memastikan kawasan itu yang terletak kira-kira 60 kilometer dari pusat bandaraya Kota Kinabalu membangun dengan pesat, kata Anggota Dewan Undangan Negeri Kiulu Datuk Joniston Bangkuai.

Beliau berkata status sebagai sebuah daerah kecil bukan sahaja akan menjadikan kawasan itu lebih membangun, namun akan memudahkan rakyat untuk membuat segala urusan dengan kerajaan.

"Apabila menjadi daerah kecil akan ada pejabat agensi kerajaan dibuka di Kiulu. Ia akan memberi manfaat kepada semua rakyat di sini. Kita tidak perlu ke tempat lain untuk melakukan beberapa urusan dengan agensi kerajaan," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan geran tanah Program Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (Pantas) di Kiulu, dekat sini.

Pada majlis itu hari ini, Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman mengumumkan Kiulu dinaik taraf sebagai daerah kecil.

Joniston berkata Kiulu yang berkeluasan 647 kilometer persegi dengan 106 kampung kini mempunyai kira-kira 50,000 penduduk.

Joniston yang juga pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) berkata pelbagai peruntukan telah disalurkan oleh kerajaan untuk memajukan kawasan Kiulu.

"Selain peruntukan kemudahan infrastruktur, kerajaan negeri melalui Bajet 2018 telah mengumumkan Kiulu sebagai perintis pelancongan luar bandar dan sudah tentu ia akan mempertingkatkan lagi kedatangan pelancong ke Kiulu.

"Kedatangan pelancong itu sekali gus dapat mendatangkan manfaat kepada semua masyarakat di sini, khususnya dari segi ekonomi," katanya.

Beliau berkata Kiulu memang terkenal dengan ekopelancongan dan pada tahun lepas, jumlah kedatangan pelancong tempatan dan asing ke Kiulu meningkat kepada 53,000 orang berbanding 27,000 pada 2016.

"Dengan pelbagai pembangunan yang dilaksanakan di Kiulu pada masa kini, kita berharap kedatangan pelancong meningkat sehingga 100,000 orang," katanya.

-- BERNAMA