Kempen Bunuh Karakter Bukan Cara BN - Jalaluddin
SEREMBAN, 7 Mac (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) tidak pernah menggunakan taktik membunuh karakter lawan dalam mana-mana pilihan raya sebelum ini, dan sentiasa berusaha mendapatkan undi rakyat menerusi cara tersendiri.
Perkara ini didedahkan Pengerusi BN Jelebu Datuk Jalaluddin Alias yang menyifatkan corak berkempen menyerang peribadi lawan bukanlah cara BN, sebaliknya kerja keras yang dilaksanakan parti itu menerusi kerajaan baik di peringkat pusat dan negeri sudah cukup untuk membuka mata rakyat tentang apa yang dilakukan untuk kemaslahatan mereka.
"Kita tidak mengemukakan kempen yang berbentuk menanam rasa benci kepada pemimpin lawan dan saya pun tidak pernah berkempen yang membunuh karektar kepimpinan pihak pembangkang tetapi kita berkempen dengan memberi ulasan tentang manifesto yang ditawarkan pakatan harapan (PH) dan bandingkan dengan manifesto BN serta penerangan apa yang telah kita buat untuk masyarakat.
"Saya yakin masyarakat akhirnya akan faham dan dapat menilai secara mendalam sejauh mana keikhlasan kepimpinan PH untuk meletakkan rakyat dan pembangunan negara sebagai keutamaan dalam perjuangan mereka, atau pun perjuangan mereka itu hanya untuk memenuhi keinginan pimpinan tertentu," katanya kepada Bernama dalam temu bual di sini, baru-baru ini.
Jalaluddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu serta Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang berkata sebagai contoh Transformasi Nasional 2050 yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bukanlah untuk kepentingan peribadi, tetapi untuk generasi Malaysia akan datang.
Begitu juga dengan Dasar Pemodenan Negeri Sembilan 2015-2045 yang menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan negeri itu, bukan untuk kepentingan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan tetapi untuk kesejahteraan rakyat di negeri ini yang hasilnya akan dinikmati dalam tempoh lima tahun dan ke atas.
"Tiada yang kita buat semata-mata untuk kepentingan sendiri. Di Jelebu misalnya, telah diminta dibuat sebuah kompleks sukan dan ia diluluskan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan sudah pastinya ia untuk kemudahan rakyat terbanyak," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap pengundi dapat berfikiran matang dan membuat pilihan bijak dengan mengekalkan kerajaan sedia ada bagi memastikan agenda pembangunan dan kemajuan yang dirancang kerajaan akan dapat terus dilaksana dan dicapai selari dengan slogan ?Memakmurkan Negeri dan Mensejahterakan Rakyat'.
-- BERNAMA