Rakyat Di Pedalaman Sabah Perlu BN Terajui Kerajaan - Sairin

Keindaham alam di Tambunan, salah sebuah daerah di pedalaman Sabah - gambar fail Bernama
KENINGAU, 7 Mac (Bernama) -- Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Sairin Karno berkata, rakyat di kawasan pedalaman Sabah masih memerlukan Barisan Nasional (BN) untuk menerajui pentadbiran kerajaan.
Ini kerana BN telah membuktikan bahawa kepimpinan parti itu benar-benar membantu rakyat dan telah membawa banyak pembangunan kepada rakyat di kawasan pedalaman.
"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak benar-benar memahami menghayati dan menyelami kehendak rakyat sebab itu rakyat di sini (pedalaman) setia kepada BN,? ktanya ketika berucap merasmikan Undian Berkomputer Projek Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) di sini hari ini.
Sebanyak RM2 juta diperuntukkan untuk cabutan 41 projek meliputi seluruh kawasan Keningau, yang diselaras oleh Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Sabah melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.
Sairin berkata pembangkang tidak memiliki apa-apa kuasa untuk membantu rakyat, melainkan berusaha untuk mencari kelemahan kerajaan BN untuk dijadikan modal politik.
"Apa yang mereka (pembangkang) tahu ialah memutarbelitkan fakta kejayaan BN ? berpura-pura tidak tahu mengenai pencapaian pembangunan kerajaan, sedangkan pada masa sama mereka sedang menikmati kemajuan yang diberikan oleh kerajaan," katanya.
Justeru, beliau menasihati rakyat di kawasan itu supaya bersatu untuk menolak pembangkang yang disifatkan beliau hadir sekadar untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada menyokong kerajaan.
Mengenai majlis itu, Sairin menasihatkan kontraktor yang bertuah agar melaksanakan projek dengan mematuhi perintah kerja projek yang diberikan.
"Laksanakan projek itu dengan sebaik-baiknya berdasarkan perintah kerja yang diberikan, jaga kualiti dan pastikan siap dengan menepati masa diberikan," kata Sairin yang juga anggota Dewan Negeri kawasan Liawan.
-- BERNAMA.