Pengundi Di Pokok Sena Perlu Sokong Kerajaan Pimpinan BN
POKOK SENA, 7 Mac (Bernama) -- Pengundi di Pokok Sena disarankan terus memberikan sokongan kepada kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan sebarang perancangan kerajaan dapat dilaksanakan di daerah ini.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin berkata, sokongan rakyat adalah penting bagi membolehkan ada wakil rakyat BN yang menjadi penghubung kepada kerajaan untuk merencanakan pembangunan di kawasan tersebut.
"Manifesto pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang lalu telah saya tunaikan di kawasan Bukit Lada sebagai wakil rakyat BN, oleh itu tiada sebab rakyat tidak mahu menyokong BN pada PRU14 nanti bagi melihat kesinambungan projek pembangunan di Bukit Lada mahupun di daerah ini dapat dilaksanakan," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Wang Ihsan Bencana bagi daerah Pokok Sena di sini, hari ini.
Seramai 168 orang dari Mukim Derang dan Lesong menerima wang tunai RM500 bagi membantu meringankan beban mereka.
Ahmad berkata, antara projek yang sedang dan siap dilaksanakan ialah Loji Rawatan Air Pokok Sena di Kebun 500 dengan kos RM68 juta yang menyelesaikan masalah air kepada 68,000 penduduk di sekitar daerah, utara Pendang dan selatan Padang Terap.
Ahmad berkata, projek yang sedang dibina ialah medan selera yang baharu dengan kos kira-kira RM500,000 bagi menempatkan peniaga agar lebih tersusun dan lengkap dalam usaha meningkatkan pendapatan mereka.
"Kita juga mewujudkan pasar sehari yang baharu bagi menempatkan 65 peniaga pasar pagi pekan Pokok Sena di sini yang dijangka siap Julai ini serta membina dewan serba guna dengan kos kira-kira RM4 juta untuk kemudahan rakyat menjalankan sebarang aktiviti," katanya.
Katanya, kerajaan juga merancang untuk membina lebih 1,000 unit Perumahan Rakyat 1Malaysia secara berperingkat-peringkat selain menyiapkan projek Rancangan Tebatan Banjir di daerah ini bagi mengatasi masalah banjir yang sering berlaku.
"Selepas ini, saya akan minta supaya diadakan stadium mini dan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) diwujudkan di Pokok Sena bagi memberi lebih banyak peluang kepada anak muda dalam aspek pendidikan dengan syarat rakyat terus menyokong BN pada PRU14 nanti," katanya.
Ahmad berkata, jika BN diberi kepercayaan untuk terus memerintah, beliau percaya Pokok Sena akan terus berkembang pesat melalui projek-projek yang dirancang oleh kerajaan.
-- BERNAMA