Perang Siber, Hanya Selesai Selepas Tempoh Mengundi Tutup - Ahmad Maslan
Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil
KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Perang siber, terutamanya dalam menangkis berita palsu dan fitnah terhadap kerajaan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) hanya akan dianggap selesai selepas tempoh mengundi PRU itu ditutup, ikrar 'ketua perang siber' UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.
Pengerusi Biro Teknologi Maklumat (IT) UMNO itu berkata kesemua anggota Jawatankuasa Biro IT dan Media Sosial UMNO yang diaktifkan di semua 191 bahagian parti itu telah bersedia dan memulakan gerak kerja dalam menghampiri seramai mungkin pengundi.
Ahmad, yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO, menekankan bahawa beliau tidak mahu berasa selesa walaupun ada kajian tertentu yang mengatakan bahawa media sosial Barisan Nasional dan UMNO kini berada di hadapan berbanding pembangkang.
"Tetapi saya tak mahu highlight perkara itu, kerana bagi saya peperangan ini hanya selesai pada 5 petang hari mengundi," katanya kepada Bernama.
Ahmad menjangkakan perang siber menjelang PRU14 hanya akan menjadi lebih sengit dengan penggunaan teknologi kini tidak lagi eksklusif untuk golongan muda, sepertimana PRU lepas.
Katanya, demografi pengguna teknologi kini lebih luas, malah boleh dikatakan mereka yang di usia 60 tahun ke atas juga sekurang-kurangnya tahu menggunakan telefon pintar dan mengakses dunia siber.
"Di Malaysia, hampir semua ada Facebook dan WhatsApp, Facebook ini ada lebih kurang 18 juta penggguna di Malaysia, dan secara keseluruhan ada kira-kira 20 juta pengguna internet, selain 44 juta telefon, lebih banyak daripada jumlah rakyat Malaysia.
"Pada saya sesiapa yang ada telefon pintar, ada Facebook dan WhatsApp dia dah boleh jadi pemain media sosial," katanya.
Ahmad berkata selain bertindak menangkis berita palsu dan fitnah di media sosial, jawatankuasa itu akan berfungsi mempromosi segala perkara berkaitan kerajaan pusat dan negeri di bawah Barisan Nasional.
-- BERNAMA