Keputusan Bantahan SPR Berhubung Daftar Pemilih Pengundi Segamat 20 Mac




KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Keputusan bantahan awal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap permohonan 48 pengundi berdaftar Parlimen Segamat di Johor untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman berhubung penggantungan kemasukan 949 nama anggota tentera dan pasangan ke dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku Ketiga 2017 kawasan itu oleh SPR akan dibuat pada 20 Mac ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wira Kamaludin Md Said menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Michelle Ng, yang mewakili semua pengundi berkenaan, dan Peguam Kanan Persekutuan Muzila Arshad mewakili SPR, Pendaftar Pemilih Johor, Shafie Taib dan Pegawai Pengadil Segamat, Miswan Yunus selaku responden.

Ketika ditemui pemberita, Ng berkata sepatutnya hari ini ditetapkan untuk keputusan bantahan awal itu tetapi ditangguhkan pada 20 Mac selepas peguam kanan persekutuan memaklumkan pihaknya ingin memfailkan hujahan tambahan terhadap permohonan mereka.

Pada 6 Mac lepas, kesemua responden mengemukakan bantahan awal atas alasan semua nama pengundi yang telah dimasukkan ke dalam senarai pemilih tidak boleh dicabar dan termaktub di bawah Seksyen 9A Akta Pilihan Raya 1958.

Kesemua pengundi yang diketuai Abdul Wahab Hassan selaku pemohon memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu pada 26 Feb lepas, bagi memohon perintah untuk membatalkan kemasukan dan pengekalan 949 nama ke dalam RDPT bersama dengan sebarang tindakan yang timbul daripada mengesahkan keputusan tersebut oleh responden, ejen, pekerja atau pegawai mereka.

Dalam permohonan itu, mereka memohon suatu deklarasi bahawa kemasukan dan pengekalan nama ke dalam RDPT tidak berperlembagaan dan penggantungan pengesahan 949 nama ke dalam RDPT sehingga keputusan semakan kehakiman.

Kesemua plaintif mengemukakan permohonan itu atas alasan kemasukan dan pengekalan nama-nama ke dalam RDPT adalah tidak berperlembagaan kerana tidak memenuhi keperluan Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga mendakwa siasatan awam jelas melanggar keadilan asasi dan tidak betul mengikut prosedur Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan kemasukan atau pengekalan nama-nama Orang Dibantah dalam RDPT adalah tidak munasabah, tidak rasional dan tidak seimbang.

Kesemua pemohon memfailkan permohonan mereka semula selepas Mahkamah Rayuan pada 21 Jan lepas membenarkan permohonan SPR untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 Jan yang memberi kebenaran kepada 48 pengundi itu untuk memulakan semakan kehakiman.

-- BERNAMA