1,119,009 Pengundi Berdaftar Di Sabah Sehingga Disember 2017 - SPR
KOTA KINABALU, 8 Mac (Bernama) -- Seramai 1,119,009 orang mendaftar sebagai pengundi di Sabah sehingga Disember tahun lepas yang bertambah daripada 981,814 orang pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
Penolong Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah Mohd Yeozree Jemil berkata pendaftaran pengundi bagi suku pertama tahun ini belum diwartakan.
"Proses mewarta pendaftaran pengundi dilakukan setiap tiga bulan,?katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat SPR mengenai Media dan Pilihan Raya di sini, hari ini.
Beliau berkata SPR Sabah juga sudah bersiap sedia dari semua aspek termasuk logistik untuk mengendalikan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Katanya SPR negeri mempunyai kira-kira 20,000 petugas di seluruh Sabah dan persiapan agensi itu adalah mengikut perancangan.
Mohd Yeozree berkata semua petugas pilihan raya di negeri telah diberi taklimat berhubung proses pilihan raya sejak tahun lepas dan taklimat ulangan sedang dan akan dilakukan bagi memastikan proses pilihan raya kelak berjalan dengan lancar.
Mengenai persediaan SPR Sabah untuk menyalurkan maklumat berkaitan PRU14 kelak termasuk keputusan pilihan raya, beliau berkata sebuah pusat media akan diwujudkan di pejabat SPR negeri.
Semua maklumat berkenaan proses pilihan raya termasuk maklumat penamaan calon dan pembuangan undi disalurkan ke pusat media berkenaan untuk kemudahan pihak media yang membuat liputan.
--BERNAMA