MCA Pandan Gesa Kerajaan Selangor Selesaikan Krisis Air Dengan Segera
KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- MCA Bahagian Pandan hari ini menggesa kerajaan negeri Selangor supaya segera menyelesaikan krisis bekalan air kerana ia merupakan keperluan harian penduduk setempat.
Ketuanya, Datuk Leong Kok Hwei berkata gangguan bekalan air yang berlaku sejak dua hari lepas telah mengakibatkan penduduk sekitar kawasan Ampang dan Pandan mengalami kesukaran, terutama penghuni rumah pangsa dan para peniaga.
"Penduduk flat dan pangsapuri di sini terpaksa bergantung kepada lori tangki air yang dihantar oleh pihak Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) sekali sehari yang kebiasaannya pada waktu malam.
Bagi mereka yang bekerja pada keesokan harinya, mereka terpaksa berjaga sehingga lewat malam untuk menunggu bekalan air sampai dan mengangkutnya ke tingkat atas menaiki tangga... hal ini telah menimbulkan kemarahan penduduk," katanya kepada pemberita selepas mengedarkan bunga ros kepada penduduk sempena Hari Wanita Sedunia di Pasar Pagi Taman Muda di sini, hari ini.
Katanya ada dalam kalangan peniaga terutamanya pengusaha restoran dan penjaja terpaksa menutup operasi sementara kerana gangguan bekalan air.
"Mereka turut menanggung kerugian kerana terpaksa menutup operasi kerana gangguan bekalan air akan mengakibatkan aspek kebersihan terjejas," katanya.
Katanya pihaknya akan menghubungi pihak Syabas dan memberitahu bahawa pengagihan air menggunakan lori dan tangki kepada penduduk terbabit adalah tidak mencukupi kerana ia menyusahkan khususnya warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang perlu mengangkat baldi setiap hari.
Katanya kerajaan negeri Selangor seharusnya bekerjasama dengan kerajaan pusat untuk mengkaji mekanisme menyelesaikan krisis air Selangor yang sekian lama menghantui penduduk negeri itu.
"Mereka tidak sepatutnya hanya menuding jari kepada pihak lain tentang krisis air tetapi sebaliknya harus duduk bersama berbincang dengan kerajaan pusat untuk menyelesaikan masalah," katanya.
--BERNAMA