Penting Majoriti 2/3 Untuk BN Terus Beri Perkhidmatan Terbaik - TPM

PUTRAJAYA, 8 Mac (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kemenangan dua pertiga Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 diperlukan untuk terus mempertahankan penjawat awam serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Untuk mencapai hasrat itu, kerajaan BN akan berusaha bersungguh-sungguh dan secara bijaksana dalam memperoleh majoriti dua pertiga itu dalam apa jua kekangan dan cabaran yang dihadapi daripada pihak pembangkang, katanya.
"Mana-mana kerajaan dalam dunia secara ideal perlu majoriti dua pertiga. Kita perlu sasarkan majoriti dua pertiga kerana kita mahu mandat lebih kuat... Kita sudah terhentak pada dinding dua kali iaitu pada PRU ke-12 dan ke-13. Kita tidak mahu terhentak dinding untuk kali ketiga.
"Kita kena berusaha dan memperkukuhkan kerajaan, mempunyai lebih suara di Dewan Rakyat agar kerajaan boleh sentiasa komited dalam menjaga kebajikan dan keperluan penjawat awam serta menyediakan perkhidmatan yang diperlukan oleh rakyat," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata penjawat awam adalah jambatan kepada rakyat dan kerajaan dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak amat memihak kepada penjawat awam, sebab itu beliau kerap memberi penekanan jika ada pihak yang mahu mengurangkan jumlah jawatan perkhidmatan awam, beliau adalah orang nombor satu yang akan mempertahankannya, katanya.
"Saya sebagai pembantu beliau berada di belakang beliau.
"Apabila terdapat komitmen perdana menteri, sudah tentu kita akan bertindak terhadap komitmen itu kerana komitmen beliau bukan secara lisan sahaja tetapi daripada hati dan minda beliau untuk bersama-sama penjawat awam dalam memperkasakan perkhidmatan untuk rakyat," katanya.
Timbalan perdana menteri berkata keseriusan kerajaan dapat dilihat apabila Malaysia menjadi satu-satunya negara yang melaksanakan Strategi Lautan Biru Kebangsan dengan 114 inisiatif dan tanpa penjawat awam, amatlah mustahil inisiatif itu dapat dilaksanakan.
Pada majlis sama, Ahmad Zahid menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 356 warga kementerian, jabatan dan agensi di bawahnya.
-- BERNAMA