Jalan Pesisir Sarawak 896km Pacu Ekonomi Penduduk Luar Bandar Lebih Hebat




KUCHING, 8 Mac (Bernama) -- Jalan pesisir pantai dari Sematan ke Miri sejauh 896km yang dijangka siap sepenuhnya kira-kira 10 tahun lagi, akan memacu pertumbuhan ekonomi penduduk luar bandar khususnya di kawasan pesisir pantai dengan lebih hebat.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata jalan raya yang membabitkan pembinaan 11 jambatan itu akan melancarkan aspek ketersambungan fizikal, di mana pengangkutan jalan darat antara pekan-pekan di pesisir pantai nanti tidak akan membabitkan perkhidmatan feri lagi, dan lebih penting lagi ia tidak dikenakan tol.

Beliau berkata empat daripada jambatan itu sudah disiapkan, manakala selebihnya dijangka siap dalam tempoh lima tahun, dan beliau menganggarkan pembinaan 11 jambatan itu membabitkan kos sekitar RM5 bilion, dengan pembiayaannya melibatkan peruntukan kerajaan pusat dan negeri.

Beliau seterusnya menganggarkan keseluruhan kos pembangunan dan pembaikan jalan raya pesisir, termasuk pembinaan 11 jambatan itu berjumlah kira-kira RM11 bilion.

"Kekangan kami adalah dana, kerana bagi melaksanakan semua ini memang agak mahal. Tapi saya rasa kita boleh laksanakannya sekarang, kerana sekarang kita sudah ada bank sendiri (Bank Pembangunan Sarawak-DBOS)," katanya dalam persidangan media selepas melancarkan Seminar Pembangunan Jalan Pesisir Sarawak di sebuah hotel di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya di majlis itu Abang Johari berkata seminar hari ini akan menjadi platform bagi mendapatkan input atau pandangan daripada pelbagai agensi bagi memastikan pembangunan kawasan luar bandar atau lebih tepat kawasan di pesisir Sarawak, membangun seiring dengan kawasan bandar.

Beliau berkata jalan ini akan menjadi rangkaian Jalan Pesisir Utama Kedua menjadi pelengkap kepada Lebuhraya Pan Borneo, yang merupakan satu daripada usaha kerajaan untuk merangka strategi pelaksanaan pembangunan lebih mampan di kawasan pesisir pantai.

Turut hadir dalam majlis hari ini ialah Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing, Menteri Muda Jalan Pesisir Sarawak Datuk Julaihi Narawi, dan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

-- BERNAMA