BN Perak Amal Prinsip Musyawarah, Pastikan Calon Menang PRU14




MANJUNG, 8 Mac (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Perak sentiasa mengamalkan prinsip musyawarah bagi memastikan tiada permasalahan berlaku antara parti komponen dalam memastikan kemenangan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Pengerusi BN Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata melalui prinsip tersebut, parti komponen dapat berbincang dan memperhalusi kedudukan setiap calon yang akan bertanding.

"Apabila di peringkat pusingan akhir ini, kita akan mengadakan perbincangan dengan presiden parti-parti komponen kerana tidak mahu sebarang masalah timbul.

"Itu adalah prinsip BN yang mana kita sentiasa berbincang bersama-sama melalui pendekatan musyawarah dan ia adalah penting. Sebab itu kita jarang mendengar masalah kita dibincangkan secara terbuka," katanya dalam sidang media selepas Majlis Kenduri Sekampung di Kampung Teluk Penchalang di sini hari ini.

Zambry yang juga Menteri Besar Perak berkata penilaian yang tepat perlu dilakukan terutama di fasa akhir sebelum PRU14 diadakan bagi menambah baik potensi calon untuk memenangi kerusi.

"Saya suka ingatkan mana-mana calon yang hendak dikemukakan biarlah calon itu jenis yang ada potensi untuk menang di kawasan berkenaan.

"Adalah malang sekiranya calon dipilih berdasarkan penilaian yang tidak beri sebarang pembaikan kepada potensi untuk menang dan saya telah pun berbincang dengan presiden-presiden parti komponen bagi memperhalusi kesemua calon yang dipilih," katanya.

-- BERNAMA