Penjagaan Kanak-kanak Mungkin Sebahagian Manifesto BN Untuk PRU14 - Shahrir





KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) mungkin menjadikan penjagaan kanak-kanak sejagat sebagai antara kandungan manifestonya bagi pilihan raya umum akan datang untuk menambah baik kehidupan mereka yang tercicir, seperti yang dilaporkan dalam kajian Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF).

Pengerusi Majlis Anggota Parlimen BN Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata walaupun penemuan itu agak mengganggu, rakyat Malaysia perlu menerimanya dan membuat perancangan untuk membaiki situasi tersebut.

"Kita bukan bersifat mempertahankan diri dan saya rasa ia satu kajian yang bagus kerana ia menunjukkan golongan yang tercicir dan kita perlu menambah baik sistem penyampaian kita, itu penting," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Dalam laporan setebal 76 muka surat yang diterbitkan pada 26 Feb lalu, UNICEF antara lain mendakwa kanak-kanak yang tinggal di kawasan Projek Perumahan Rakyat di negara ini dikenal pasti paling banyak mengalami malnutrisi dan kerencatan mental.

Shahrir yang juga Anggota Parlimen Johor Bahru, berkata beliau telah mengusulkan perkara itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN, semasa mereka bertemu pagi tadi.

"Saya jumpa PM (perdana menteri) hari ini dan cadangkan agar kita masukkan isu penjagaan kanak-kanak sejagat dalam manifesto," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata kerajaan telahpun melaksanakan pendekatan yang baik dalam menangani isu rakyat terutama dari segi pendapatan dengan mengklasifikasikan mereka dalam kumpulan dan mengadakan program-program khusus mengikut kumpulan masing-masing.

"Saya fikir memang sudah ada program yang sangat bagus, tidak ada negara yang mempunyai pendekatan seumpama dan sudah tentu kita akan memperhalusnya," katanya.

Shahrir berkata BN juga akan mengambil peluang membangkitkan isu itu semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

-- BERNAMA