Lim Wajar Umum Akan Berundur Sebagai KM Sekarang - PRM
GEORGE TOWN, 8 Mac (Bernama) -- Parti Rakyat Malaysia (PRM) hari ini menggesa Ketua Menteri Lim Guan Eng mengumumkan sekarang yang beliau tidak akan memegang jawatan itu jika Pakatan Harapan berjaya mempertahankan Pulau Pinang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Pengarah Kempen Pilihan Raya PRM Pulau Pinang Chew Seng Tung berkata Lim patut membuktikan keikhlasan pakatan pembangkang berhubung cadangan mengehadkan jawatan ketua menteri dan menteri besar kepada dua penggal jika mereka memenangi PRU itu.
Ini kerana katanya Lim sudahpun memegang jawatan itu selama dua penggal sejak 2008.
"Umum sekarang, tidak perlu tunggu sampai anda menang PRU14," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Semalam, Lim mengumumkan Pakatan Harapan bersetuju untuk memasukkan had dua penggal itu dalam manisfesto mereka bagi PRU14.
Mengulas lanjut, Chew turut meluahkan kehairanan dengan sikap DAP itu yang sebelum ini tidak mengendahkan saranan wakil rakyat mereka sendiri, Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Bungah Teh Yee yang berulang kali mencadangkan agar pemegang jawatan ketua menteri dihadkan kepada dua penggal sahaja.
"Anda ada banyak peluang untuk melaksanakan dasar itu selepas 2013 namun anda tidak berbuat demikian. Kenapa tunggu sehingga anda menang PRU...anda tidak perlu tunggu," katanya.
Malah katanya, belum terlewat untuk kerajaan negeri pimpinan DAP itu untuk mengadakan sesi khas Dewan Undangan Negeri bagi meluluskan usul dua penggal untuk jawatan ketua menteri tersebut.
-- BERNAMA