Pakatan Mahu Hapus GST, Satu Perkara Yang Tidak Munasabah
KUALA NERUS, 10 Mac (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menyifatkan manifesto Pakatan Harapan yang mahu menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sekiranya mereka memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah tidak munasabah dan mengarut.
Menteri Besar Terengganu itu berkata, GST telah terbukti berkesan dalam membantu meningkatkan ekonomi negara dan ia turut dilaksanakan oleh banyak negara di seluruh dunia termasuk Singapura dan Arab Saudi.
Justeru katanya dikhuatiri jika GST tidak lagi dilaksanakan, rakyat tidak lagi dapat menikmati pembangunan seperti yang dikecapi hari ini dan juga segala bentuk bantuan yang diberikan oleh kerajaan ketika ini.
"Mengarutlah kalau nak hapuskan GST kerana sekarang GST telah terbukti baik dan telah dilaksanakan oleh banyak negara.
"Amat pelik kalau GST telah dilaksanakan, tiba-tiba hendak dihapuskan pula. Itu perkara yang tidak masuk akal," katanya.
Beliau mengulas mengenai mainifesto itu yang dilancarkan semalam selepas merasmikan Karnival Rakyat DUN Teluk Pasu 2018 di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Penyalaras DUN, Che Mansor Che Salleh.
Sementara itu Ahmad Razif berkata, susulan kejayaan Ekspo Terengganu 2018 yang diadakan pada 25 Feb hingga 3 Mac lalu, kerajaan negeri memutuskan untuk mengadakan ekspo di setiap daerah bermula di daerah Dungun dalam masa terdekat.
Ekspo tiga hari dua malam itu akan mempamerkan kejayaan yang berlaku di daerah masing-masing serta perancangan pembangunan masa depannya agar rakyat dapat melihat sendiri kemajuan yang dicapai hasil pentadbiran kerajaan BN.
"Pada ekspo itu nanti akan diadakan perkhidmatan untuk rakyat, yang akan memberi peluang kepada peniaga serta diwujudkan jualan sentuhan rakyat dan sebagainya.
"Kami tidak mahu bercakap tentang politik yang beritahu bermacam-macam, tetapi rakyat tidak boleh lihat. Adalah lebih baik kami buat konsep seperti ekspo ini, rakyat boleh lihat dan mendapat manfaat yang akhirnya boleh membuat keputusan (masa pilihan raya).
"Yang penting rakyat jangan terpengaruh dengan fitnah atau apa saja perkara yang cuba dipolitikkan (pembangkang) yang mahu menunjukkan bahawa kerajaan Terengganu dan Malaysia lemah, (di bawah pemerintahan BN), " kataya.
-- BERNAMA