Jangan Bimbang Dengan Ramalan Pembangkang - Hishammuddin





BUKIT MERTAJAM, 10 Mac (Bernama) -- Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menasihatkan semua anggota parti supaya tidak bimbang dengan pelbagai ramalan yang dibuat pihak pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya, beliau tidak percaya pada ramalan-ramalan itu kerana ia tidak akan menjadi kenyataan dan perkara itu telah terbukti pada pilihan raya umum yang lepas.

"Mudah untuk bercakap sebelum pilihan raya dan apabila tidak menjadi kenyataan, anda beralih. Perkara-perkara yang menjadi ramalan sebelum ini pun banyak dibuat sebelum PRU13 tapi bila bendanya tak berlaku mereka mengalihkan 'tiang gol'.

"Nasihat saya kepada anggota parti supaya jangan bimbang tentang pilihan raya, kita pertahankan negeri-negeri kita dan dan memastikan kita memberikan kemenangan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan dan Amanat Naib Presiden UMNO Bersama Ahli Jawatankuasa Empat Peringkat UMNO Bahagian Negeri Pulau Pinang, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ramalan yang dibuat oleh badan pemikir Invoke Malaysia bahawa Pakatan Harapan akan memenangi lima negeri pada PRU14 iaitu Kedah, Perak, Johor, Pulau Pinang dan Selangor berikutan tsunami Melayu.

Sementara itu, Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan merangkap Menteri Tugas-Tugas Khas, berharap rakyat Pulau Pinang dapat menilai semula manifesto yang dibuat oleh kerajaan negeri yang mana selepas 10 tahun memerintah masih gagal untuk dilaksanakan.

"Mungkin rakyat Pulau Pinang dapat melihat sendiri kegagalan ketua menteri (Lim Guan Eng) dengan beberapa perkara yang mereka telah janjikan dalam PRU13 sampai hari ni pun tak selesai juga.

"Kalau dulu menjanjikan nak mansuhkan tol dah gagal. Kalau dulu menjanjikan rumah mampu milik, gagal. Kalau dulu kata nak selesaikan masalah banjir, gagal dan ini semua kalau kita senaraikan kita tengok bahawa janji-janji mereka dalam manifesto ini merupakan janji-janji yang tak boleh pakai," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua anggota dan pemimpin parti supaya menggerakkan jentera dengan mendekati rakyat dan menyebarkan mesej sejelas-jelasnya kepada rakyat dalam apa jua kaedah termasuk media sosial dan ceramah.

Katanya, beliau bimbang terdapat gerakan-gerakan tertentu untuk menyebarkan berita-berita palsu dan fitnah terutamanya menjelang pilihan raya umum seperti yang berlaku pada PRU13.

"Kita kena jawab dengan cepat. Ini apa yang kita lihat masa PRU13. Kebanyakan berita-berita palsu ini menyentuh perkara sensitif yang berbaur perkauman dan keagamaan. Kita kena tangani dengan bijaksana," katanya.

-- BERNAMA