Jentera PRU14 BN Labuan dilancar




LABUAN, 10 Mac (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Labuan hari ini melancarkan jentera pilihan raya umum ke-14 (PRU14), sambil disaksikan oleh 1,000 anggota parti komponen BN, di sini.

Pelancaran yang disempurnakan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein itu memperlihatkan kesiapsiagaan parti komponen BN yang terdiri daripada Umno, MCA, MIC, Parti Bersatu Sabah (PBS), UPKO dan Gerakan dalam menggalas tugas bagi memastikan calon BN mengekalkan kerusi Parlimen Labuan pada PRU14.

PRU14 bakal melihat pertambahan pengundi kira-kira 10 peratus berbanding 24, 474 pada pilihan raya umum lepas.

Anggota Parlimen Datuk Rozman Isli berkata pulau bebas cukai itu akan terus menjadi kubu kuat BN berikutan sumbangan berterusan kerajaan persekutuan dalam memastikan pembangunan pusat perkhidmatan kewangan antarabangsa ini.

"Antara lain, perpaduan masyarakat berbilang kaum di Labuan juga akan menjadi pengukur kepada kekuatan dan wadah kemenangan BN.

"Peluang pekerjaan dan perniagaan yang terbuka untuk semua menjadikan kebolehan dalam memastikan kesinambungan pembangunan berterusan kerajaan BN sentiasa teruji," katanya.

Labuan adalah kawasan parlimen yang didominasi pengundi Melayu sebanyak 70 peratus, manakala 21 peratus pengundi Cina, lima peratus pengundi Kadazan-Dusun, satu peratus pengundi India dan selebihnya pengundi pelbagai bangsa termasuk kaum Dayak Sarawak.

-- BERNAMA