BN Johor Dijangka Buat Kejutan Pada PRU14




KULAI, 11 Mac (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO Johor dijangka membuat kejutan pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) bagi membuktikan kajian 'Invoke Malaysia' yang dilakukan pembangkang baru-baru ini mengenai Johor bakal ditawan ketika pilihanraya umum itu oleh Pakatan Harapan tidak benar.

Pengerusi BN Negeri Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata metodologi yang digunakan ketika kajian itu oleh pembangkang adalah tidak tepat dan cuma menerusi media sosial semata.

"Dia pakai media sosial macam dalam WhatsApp apabila kata tak sokong kerajaan, kena bagi pandangan bila orang kritik kerajaan dia dah ambil kira, itu dia punya cara. Sebab itu saya katakan metodologi yang diguna boleh dipersoalkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pusat Pembangunan Pentadbiran Kulai di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Md Jais Sarday dan Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Azmi Rohani.

Mohamed Khaled berkata pendekatan kajian yang dijalankan BN khususnya UMNO jelas berbeza di mana setiap seorang petugas akan membuat 'survey' (kaji selidik) ke atas 30 orang pengundi lebih dari sekali untuk mendapatkan kajian yang lebih tepat.

"Kita buat kaji selidik di mana 30 orang pengundi di tanya persoalan yang tepat sama ada menyokong BN atau tidak.

"Bukan sekali tapi tiga empat kali dalam masa dua tahun kebelakangan ini dan kita akan bagi surprises kepada Rafizi. Itu je yang saya nak cakap pada Rafizi," katanya lagi.

Di JOHOR BAHRU, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed turut senada dengan Mohamed Khaled mengenai metodologi kajian pihak pembangkang yang disifatkan tidak masuk akal.

Menurut beliau, rumusan kajian yang dibuat badan pemikir pembangkang itu hanya helah dan propaganda pilihanraya yang dibuat semata-mata bagi mempengaruhi rakyat meskipun realitinya sokongan terhadap pakatan semakin menurun.

"Invoke ini ditubuhkan tahun lepas oleh Rafizi Ramli selepas dia menghadapi masalah. Saya tidak percaya dengan metodologi kajian yang digunakan oleh mereka dan lebih percaya kepada kajian yang dijalankan oleh badan-badan luar yang lebih bertauliah. Mana ada kajian yang menemubual 2,000 orang, dan membuat rumusan untuk seluruh negara?

"Ini adalah propaganda yang seringkali dibuat oleh pembangkang menjelang pilihanraya untuk memberikan keyakinan kepada rakyat bagi mengaburi fakta bahawa sokongan rakyat kepada mereka semakin lama semakin menurun, dan mereka sendiri berada di dalam keadaan kucar-kacir," kata beliau.

Semalam, pengasas Invoke Malaysia yang juga Naib Presiden PKR mendakwa pakatan pembangkang mampu menang di lima negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Johor dengan pakatan dijangka memenangi 89 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia.

-- BERNAMA