Pembinaan Sekolah Menengah Agama Berasrama Penuh Fokus Utama ADUN Benut




PONTIAN, 11 Mac (Bernama) -- Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Benut Datuk Ir Hasni Mohammad akan menjadikan usaha membangunkan sekolah menengah agama berasrama penuh Ibnu Khaldun di Parlimen Pontian sebagai fokus utamanya agar ia dapat direalisasikan.

Hasni yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri berkata perjuangannya bagi memastikan pembinaan sekolah berasrama penuh itu diteruskan berikutan tiada sekolah menengah agama berasrama penuh di Parlimen itu sedangkan pelajar aliran agama semakin bertambah.

"Ini adalah idaman saya. Satu daripada perkara yang akan saya perjuangkan jika terpilih sekali lagi menjadi wakil rakyat di sini adalah sekolah menengah agama berasrama penuh yang diberi nama Ibnu Khaldun.

"Kerajaan sudah ambil alih projek bagi membangunkan sekolah penuh berkenaan yang berkeluasan lebih 12 hektar. Pengambilan balik tanah juga sudah selesai dan kini hanya tinggal menunggu masa sahaja untuk dibangunkan," kata beliau ketika berucap pada majlis penyerahan kunci projek Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) fasa satu dan empat di sini, hari ini.

Katanya pembinaan sekolah menengah agama berasrama penuh di sini amat selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk melahirkan modal insan berkualiti.

Sebelum ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM14.5 juta melalui Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) bagi pemulihan lima sekolah agama di Pontian yang terbengkalai sejak dua tahun lepas.

KPRJ, anak syarikat milik kerajaan Johor itu diberi mandat mengambil alih dan membangunkan 77 SAKJ yang terbengkalai dan mengalami kecacatan infrastruktur daripada pemaju swasta sejak 26 Okt tahun lalu.

-- BERNAMA