PKR Lepas Dua Kerusi DUN, PPBM Bertanding Empat Kerusi DUN Pulau Pinang
GEORGE TOWN, 11 Mac (Bernama) -- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan bertanding di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Empat kerusi tersebut ialah Teluk Bahang dan Bertam yang sebelum ini adalah kerusi milik PKR serta Permatang Berangan dan Penaga yang sebelum ini ditandingi bekas rakan sekutu Pakatan Harapan (PH), PAS.
Setiausaha Agung PH, Datuk Saifuddin Abdullah ketika mengumumkan pengagihan kerusi DUN Pulau Pinang pada majlis sambutan 10 tahun Pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang di Padang Kota Lama, di sini malam ini, berkata Parti Amanah Negara (Amanah) pula akan bertanding di tiga kerusi DUN yang dahulunya merupakan kerusi PAS iaitu Sungai Dua, Permatang Pasir dan Bayan Lepas.
"DAP kekal bertanding di 19 kerusi DUN manakala PKR bertanding 14 kerusi,"katanya.
Pada PRU13, DAP memenangi kesemua 19 kerusi DUN yang ditandinginya, PKR menang 10 kerusi daripada 16 kerusi yang ditandingi, PAS (satu) dan Barisan Nasional (10).
DUN Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan 13 kerusi Parlimen.
-- BERNAMA