Pengundi DUN Sungkai Perlu Kembali Kepada BN





SUNGKAI, 11 Mac (Bernama) -- Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta pengundi mengembalikan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungkai dalam kawasan Parlimen Tanjung Malim kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana BN dapat membantu memberikan kemudahan baik daripada segi pembangunan untuk Sungkai seiring dengan pelbagai kemudahan dan pembangunan yang dinikmati di Behrang, Slim River dan daerah Mualim di sini.

"Sungkai telah terlepas pada tangan orang lain, ini masa terbaik beritahu pengundi Sungkai untuk balik semula kepada BN. Saya berjanji akan datang kembali,"katanya ketika berucap pada program mesra TImbalan Perdana Menteri Bersama Rakyat di Padang Felda Gunung Besout 1, di sini, malam ini.

Selain itu, katanya, beliau juga akan turun padang bagi membantu kempat-empat calon Parlimen (Tanjung Malim) dan DUN Behrang, Slim River dan Sungkai untuk memenangi PRU14.

"Kita tidak mahu pengundi di Tanjung Malim ini dinafikan hak mereka selepas melakukan kesilapan mengundi yang lain. Kita akui kita (kerajaan) ada kelemahan tetapi kita perbaiki kelemahan itu.

"InsyaAllah, saya diberi amanah iaitu kebertanggungjawaban untuk bersama memperbaiki kelemahan itu agar kesejahteraan dapat dirasai sepenuhnya,"katanya.

Dalam pada itu, warga Felda diingatkan tidak termakan fitnah pihak pembangkang tentang keburukan kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, Felda telah diberikan keutamaan oleh kerajaan persekutuan untuk membantu meningkatkan taraf sosioekonomi peneroka.

"Kita tahu ada warga Felda yang terpengaruh tetapi pada dasarnya keuntungan di segi impak sosial, ekonomi dan keseluruhannya adalah baik.

"Kita bukan maksum tetapi kelemahan kita baiki. Kalau kita hendak mencari buruk, tanyalah musuh tetapi kalau hendak tanya baik, tanyalah kawan,"katanya.

-- BERNAMA