Jualan sentuhan rakyat akan diperbanyak - Zahid

REMBAU, 13 Mac (Bernama) -- Jualan Sentuhan Rakyat akan diperbanyak dan dikerapkan di setiap kawasan parlimen demi kepentingan rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Majlis Menangani Kos Sara Hidup peringkat Kebangsaan berkata program ini dibuat kerana kerajaan prihatin dengan kenaikan harga barangan.
"Saya akan memberitahu Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin, agar Jualan Sentuhan Rakyat dapat diperbanyakkan dan dikerapkan demi kepentingan rakyat.
"Itu kita lakukan kerana kita prihatin terhadap kenaikan harga barang yang bukan disebabkan oleh pengeluar atau penanam tetapi disebakan oleh orang tengah," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Taman Satria, Paroi, dekat sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin, Ahli Parlimen Kuala Pilah Datuk Seri Hasan Malek dan barisan exco kerajaan negeri serta wakil-wakil rakyat.
Ahmad Zahid berkata kaedah yang dibuat melalui Jualan Sentuhan Rakyat adalah antara jawapan yang boleh diteruskan oleh pihak kerajaan, untuk membantu rakyat menangani kos sara hidup.
Terdahulu, Mohamad di dalam ucapannya telah mencadangkan agar Jualan Sentuhan Rakyat patut dipertingkatkan di setiap parlimen lantaran ia amat popular di kalangan rakyat.
"Orang cukup suka. Contohnya, ikan bilis dijual pada harga RM8 lebih murah dari harga pasaran.
"Apa yang Datuk Seri dan jawatankuasa lakukan amat baik," katanya.
Sementara itu, dalam majlis yang dihadiri 6,000 penduduk setempat, Ahmad Zahid mengumumkan peruntukan RM4.9 juta bagi lima projek kerja-kerja membaik pulih infrastruktur di Parlimen Rembau.
Antara projek yang diluluskan ialah peruntukan sebanyak RM800,000 bagi pembinaan Dewan Mini Serbaguna di Taman Satria, dan RM100,000 bagi kerja membaik pulih tebing runtuh serta kerja berkaitan Kampung Sentosa Jaya.
"Bagi cadangan seperti pembinaan baru sekolah rendah di Bandar Seri Sendayan dengan kos RM30 juta, saya akan minta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan untuk pihak Unit Perancang Ekonomi (EPU) segera masukkan sebagai keutamaan.
"Selain itu, cadangan pembinaan jalan keluar masuk alternatif Taman Tuanku Jaafar ke Jalan Seremban-Tampin dan cadangan menaik taraf sistem perparitan di Taman Marida, Taman Satria dan Taman Seri Pagi, turut dimasukkan sebagai keutamaan di bawah EPU," katanya.
-- BERNAMA