Peruntukan bukan gula-gula PRU -- Azlan Man




KANGAR, 14 Mac (Bernama) -- Datuk Seri Azlan Man menolak dakwaan bahawa peruntukan kepada Perlis yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam adalah gula-gula pilihan raya umum ke-14.

Sebaliknya kata Menteri Besar, peruntukan berkenaan adalah dari permintaan berterusan kerajaan negeri bagi melaksana projek rakyat yang dirancang dan bukan projek baharu menjelang PRU.

Dalam lawatan kerjanya ke Perlis semalam, Najib meluluskan RM41.14 juta untuk pembinaan loji rawatan air Tasoh, RM50.5 juta bagi menangani masalah air tanpa hasil (NRW) dan masing-masing RM10 juta untuk mendirikan premis Plazaria Padang Besar serta Bazaria Kangar.

Perdana Menteri turut mengumumkan pembinaan 1,400 unit rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat di seluruh negeri, RM30 juta bagi membina projek pintu air Sungai perlis bagi mengawal banjir dan RM30 juta menaik taraf Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu Seriab.

"Pembangkang tidak peduli susah payah kita untuk meyakinkan kerajaan pusat meluluskan peruntukan tersebut supaya rakyat mendapat nikmati pembangunan yang dirancang.

"Kerajaan negeri tiada kemampuan dan mengharapkan bantuan dan ehsan kerajaan pusat bagi melaksanakan projek-projek bernilai puluhan juta ringgit," katanya.

Bercakap media selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Persatuan Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini, Azlan berkata kelewatan kelulusan permohonan disebabkan negeri lain turut membuat permintaan sama, dan dalam hubungan ini Azlan berkata peruntukan RM50.5 juta akan digunakan bagi menggantikan paip-paip lama yang kerap bocor dan menyebabkan berlaku NRW.

"Hampir keseluruhan paip asbestos sepanjang 1,985 kilometer dipasang pada tahun 1950-an. Bagi mengganti baharu, satu kilometer paip berharga kira-kira RM1 juta. Jadi, peruntukan itu akan digunakan dengan sewajarnya," tambahnya.

-- BERNAMA