Mahfuz Omar sertai Amanah





KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Anggota Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar hari ini mengumumkan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).

Beliau membuat pengumuman itu di Bangunan Parlimen di sini.

Selain beliau, bekas Pengarah Urusan Harakah Dr Rosli Yaacob turut mengumumkan penyertaannya ke Amanah.

Mahfuz, 60, meninggalkan PAS setelah 34 tahun bersama parti itu pada 31 Dis lepas.

Dalam sidang media selepas pengumuman itu, Mahfuz berkata beliau mengambil keputusan menyertai Amanah berbanding parti lain dalam pakatan kerana parti itu paling banyak berkorban demi menjayakan pengagihan kerusi Pakatan Harapan untuk pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding pada PRU nanti, beliau berkata kemasukannya ke parti itu bukan semata-mata untuk menjadi calon tetapi bagi membantu kemenangan semua calon pakatan yang akan bertanding.

Beliau juga mengambil kesempatan dalam sidang media itu menghentam parti lamanya, PAS dengan mengatakan parti itu bukan lagi sebuah parti yang mempunyai kuasa politik dan mampu memberi cabaran kepada mana-mana parti lain.

Sementara itu, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub dalam sidang media sama berkata parti itu akan mengadakan mesyuarat pada minggu depan bagi menentukan masa depan Mahfuz dalam parti termasuk dari segi jawatan dan kemungkinan untuk meletakkan sebagai calon pada PRU nanti.

-- BERNAMA