Najib kongsi kejayaan kerajaan bersama ribuan penjawat awam Perak

Oleh Mohd Faizal Hassan dan Ahmad Erwan Othman
IPOH, 15 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengadakan sesi soal jawab dengan ribuan penjawat awam seluruh Perak dalam edisi keempat Program Bajet 2018 Bersama Rakyat-Penjawat Awam bagi berkongsi kisah kejayaan negara dan pelbagai polisi kerajaan yang telah dan akan dilakukan.
Najib yang tiba kira-kira 11.40 pagi di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu, Tanjung Rambutan dekat sini disambut Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II Datuk Seri Ong Ka Chuan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah serta barisan exco negeri.
Ribuan hadirin khasnya penjawat awam negeri ini daripada pelbagai agensi kerajaan dan badan berkaitan kerajaan memenuhi segenap penjuru dewan utama kolej tersebut termasuk khemah-khemah luar yang disediakan.
Hadirin berpeluang bertanyakan soalan yang turut dipaparkan dalam skrin-skrin besar pada program keempat ini selepas diadakan di Kedah, Selangor dan Perlis melibatkan nelayan, petani, belia dan pelajar.
Dalam ucapannya kira-kira 30 minit itu, Najib berkata kerajaan tidak bercadang untuk mengurangkan jumlah penjawat awam seluruh negara ketika ini yang kini mencecah sehingga 1.62 juta orang.
Beliau turut menempelak kem "sebelah sana" (pembangkang) yang dilihat kerapkali menyerang penjawat awam dengan pelbagai gelaran dan tohmahan.
"Mereka (pembangkang) kata hendak kurangkan penjawat awam, ada pula yang hina penjawat awam dengan kata kucing kurap, monyet malah ada yang kata separuh penjawat awam akan dihentikan.
"Mereka ini tidak hormat kerajaan awam. Bagi kita, penjawat awam umpama tiang seri kerajaan dan penting. Di pihak kerajaan akan tambah lagi jumlah penjawat awam malah telah beri bayaran khas RM1,000 dan RM500 tidak lama lagi," katanya yang disambut tepukan gemuruh.
Perdana menteri turut menyentuh mengenai Projek Perumahan Awam 1Malaysia (PPA1M) di mana kerajaan merancang untuk menjual dengan kadar 30 peratus lebih murah membabitkan 12,000 unit di Perak yang akan ditentukan kelak.
Najib turut percaya, Malaysia akan terus maju ke depan dengan sokongan penjawat awam di seluruh negara, untuk menjadi antara 20 negara utama di dunia.
Perdana menteri dalam ucapannya turut menyentuh mengenai berita palsu yang disebarkan di media sosial mengenai kepimpinan kerajaan yang dilihat semakin menjadi-jadi.
"Orang akan percaya perkara yang tidak betul dan tidak masuk akal. Ini satu tempoh yang ditandai dengan perilaku tidak logik dan aneh, pelbagai cerita akan keluar. Dahulunya mengenai 40,000 pekerja Bangladesh akan masuk sehingga ada orang percaya, benci dan kecam kerajaan," tambahnya.
-- BERNAMA