Ahmad Zahid puas hati kehadiran MCA di P.Pinang




KEPALA BATAS, 15 Mac (Bernama) --Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada pernah ada masalah mengenai hubungan MCA sebagai parti komponen dalam Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata perkara itu jelas terbukti apabila ramai pemimpin dan anggota MCA hadir pada Program Turun Padang Timbalan Perdana Menteri di Dewan Millenium, di sini hari ini.

"Semalam saya telah menemui presiden (Datuk Seri Liow Tiong Lai) dan timbalan presiden (Datuk Seri Dr Wee Ka Siong) MCA selepas mesyuarat Jemaah Menteri. Akhirnya pada hari ini saya cukup berpuas hati dengan tindakan yang dilakukan oleh kedua-dua pemimpin MCA itu yang menerima dengan positif kenyataan yang telah saya keluarkan.

"Pada hari ini jelas bahawa pemimpin-pemimpin MCA peringkat negeri dan semua kawasan Parlimen bersama ahli jawatankuasanya telah datang beramai-ramai. Ini adalah merupakan satu langkah positif yang telah dilakukan oleh kepimpinan MCA," katanya pada sidang media selepas program berkenaan di sini.

Ahmad Zahid dilapor menegur MCA secara terbuka berikutan kekurangan kehadiran pemimpin dan anggota parti itu pada program BN di Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Timbalan Pengerusi BN itu menjelaskan kenyataan yang dikeluarkannya itu bukan bermakna beliau memarahi parti komponen itu, sebaliknya hanya sebagai satu kenyataan kepada MCA yang merupakan sebahagian daripada jentera BN.

Katanya atas kapasiti itu MCA perlu menunjukkan komitmen mereka dalam program-program BN bersama rakyat.

"Saya bukan memarahi mereka. Saya hanya mengeluarkan kenyataan disebabkan mereka adalah sebahagian daripada jentera BN. Apa juga perhimpunan jentera BN, mereka mesti hadir," tegas beliau.

Beliau berkata kehadiran yang tidak begitu menggalakkan di kalangan anggota MCA pada majlis sebelum ini mungkin kerana mereka merasakan keberadaan mereka tidak penting.

"Tapi apabila pandangan itu telah saya lontarkan akhirnya mereka mengambil tindakan yang lebih proaktif. Saya mengucapkan syabas dan tahniah di atas tindakan segera yang mereka lakukan.

"Memanglah mereka tidak begitu gembira (dengan kenyataan saya). Jika mereka tidak berbuat apa-apa bermakna ada sesuatu yang tidak kena dengan penerimaan terhadap kenyataan saya. Tapi beliau (Liow) menerimanya dengan sangat baik dan beliau mengarahkan pemimpin parti itu di negeri ini agar lebih proaktif dan perkara itu dibuktikan hari ini," katanya.

-- BERNAMA