Kerajaan belajar daripada kesilapan untuk ukir lebih banyak kejayaan - PM Najib





IPOH, 15 Mac (Bernama) --Kerajaan sedia ada di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) disifatkan tidak sempurna namun sentiasa belajar daripada kesilapan demi mengukir lebih banyak episod kejayaan, demi kemajuan negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata walaupun 'diserang' dengan pelbagai tohmahan, namun BN akan tetap mempertahankan sistem demokrasi berparlimen dan perlembagaan negara sebagai asas kekuatan untuk mentadbir negara.

"Ada pembangkang kata saya zalim. Saya ingin tanya, siapa yang terlibat dalam Ops Lalang dan penjarakan beratus-ratus orang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri? Adakah menjadi logik jika negara dipimpin orang yang berumur 93 tahun? Tentu kita tidak mahu masa depan negara diperjudikan.

Saya tidak kata kerajaan sekarang tiada kelemahan tetapi kita (kerajaan pusat dan negeri) akan belajar daripada kelemahan dan kesilapan supaya negara terus berjaya. Orang putih kata ingredient (ramuan), kita ada semua," katanya.

Beliau yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN itu berkata demikian sewaktu berucap pada edisi keempat Program Bajet 2018 Bersama Rakyat-Penjawat Awam di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu, Tanjung Rambutan dekat sini bagi berkongsi kisah kejayaan negara dan pelbagai dasar kerajaan yang telah dan akan dilaksanakan.

Najib berkata rakyat harus lebih bijak dalam menilai masa depan mereka termasuk melihat sendiri manifesto pembangkang yang akan menambah hutang negara seperti pembatalan konsesi tol, cukai barang dan perkhidmatan (GST).

"Bila kita mansuhkan segala-galanya, hutang akan bertambah, negara akan hilang (pendapatan) dan segala-galanya akan merudum. Di akhir nanti, rakyat akan menderita.

Sebab itulah ia dikenali sebagai janji madu beracun. Lihatlah di Selangor, apa guna ada air percuma tetapi air tiada, inilah akibat dasar populis menangkan undi tetapi tidak menanggung akibat," tambahnya.

-- BERNAMA