Calon atau tidak terserah kepada presiden - Shahrizat





KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata nasibnya sebagai calon pilihan raya umum ke-14 (PRU14) diserahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat keputusan.

Beliau berkata komitmennya kini lebih tertumpu kepada tugas dan tanggungjawab sebagai Ketua Pergerakan Wanita UMNO untuk menggerakkan jentera parti dan memastikan kemenangan berpihak kepada BN.

"Yang mustahak adalah jawatan saya sebagai ketua Pergerakan Wanita UMNO, bukan saya sebagai calon kerana sebagai tulang belakang (UMNO), kita nak pastikan kerja-kerja (berkaitan PRU14) dijalankan dulu.

"Nasib saya sebagai calon atau tidak, saya serahkan kepada presiden saya, dan saya yakin beliau (Najib) akan tahu apa yang perlu dilakukan dengan Ketua Wanita UMNO Malaysia ini," katanya kepada media sebelum mempengerusikan Mesyuarat Exco Wanita UMNO di Menara Dato' Onn, di sini, hari ini.

Mengulas mesyuarat itu, Shahrizat berkata ia akan melibatkan beberapa perincian peringkat akhir khususnya berhubung persiapan jentera Wanita UMNO bagi menghadapi PRU14 tidak lama lagi.

Sambil menyatakan kesiapsiagaan pergerakan itu, beliau berkata ibu pejabat Wanita UMNO turut menerima maklum balas positif dan 'sihat' daripada akar umbi berhubung sokongan kepada Najib dan BN.

Wanita UMNO turut mempamerkan jam digital pada dinding ibu pejabatnya yang menghitung jangkaan detik menjelang PRU14.

Menurut Shahrizat, jam itu adalah sebagai 'kiraan detik' selepas PRU13 yang diadakan pada 5 Mei 2013.

Ia adalah sebagai jangkaan kita dan kesediaan menghadapi PRU14, katanya.

Sementara itu, beliau berkata Wanita UMNO menjadikan perkhidmatan kepada rakyat sebagai senjata utama memenangi PRU14 termasuk aktiviti turun padang, dan lebih bersedia menerusi pendekatan teknologi maklumat dan media sosial.

Katanya melalui Jalinan Rakyat Plus (JR Plus) juga, kerjasama yang erat dapat dilaksanakan bersama sayap UMNO, parti komponen BN dan badan bukan kerajaan menerusi sistem yang berdisiplin dan strategik.

Kita bukan macam pembangkang yang suka tohmah dan fitnah macam-macam¦ kita lebih pentingkan kepada kestabilan dan masa depan negara termasuk mengambil perhatian isu-isu rakyat, katanya.

--BERNAMA