Zahid gariskan tiga elemen penting pastikan UMNO dan BN menang PRU14





KULIM, 15 Mac (Bernama) -- Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menggariskan tiga elemen penting yang harus ada dalam kalangan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk terus memastikan kemenangan parti itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata tiga elemen penting itu adalah mereka mesti ada daya tahan, daya juang dan daya saing.

"Jika ketiga-tiga elemen ini terus kukuh dalam diri kita, pemimpin-pemimpin dan seluruh saf dan ahli akar umbi, parti-parti komponen Barisan Nasional, kita dalam perjalanan untuk menghasilkan satu lagi kemenangan," katanya ketika berucap pada program beliau bersama rakyat dari sekitar Parlimen Padang Serai di Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) dekat sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata daya tahan bukan hanya untuk defensif menangani pelbagai fitnah berita palsu tetapi mahu memastikan rakyat mengetahui apa yang dilakukan kerajaan adalah semuanya baik demi kepentingan mereka.

"Tetapi memang diakui kita bukan maksum, kita tidak sempurna kita ada kelemahan. Ya, kita akui ada kelemahan, kita mesti perbaiki kelemahan itu. Kita mahu perbaiki bukan kita mahu defensif, kita mahu agar sebarang kelemahan itu diperbaiki demi kepentingan rakyat keseluruhannya," katanya.

Ahmad Zahid berkata daya juang pula adalah merangkumi sikap yang menang tidak menzalimi yang kalah manakala yang kalah mesti menghormati yang menang dalam usaha mengekalkan kestabilan politik agar pembangunan negara dapat dilaksanakan.

"Kalau orang menuduh bahawa kerajaan ada kelemahan, mempunyai kekurangan, selemah mana kerajaan dituduh? Buruk sangat ke Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat. Kita lihat banyak lagi negara-negara lain lebih lemah yang tidak ada dasar transformasi, yang tidak lakukan perubahan, tidak mempunyai pembangunan dan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) yang tinggi, tetapi kerajaan stabil, sebab apabila selesai pilihan raya rakyat berbagai kaum dan parti bersatu semula," katanya.

Beliau berkata daya saing pula adalah dapat meraikan perbezaan pendapat dengan akhlak yang baik.

Ahmad Zahid berkata sekiranya ketiga-tiga elemen itu ada dalam kalangan pemimpin UMNO dan BN maka Kedah akan terus membangun dan negara ini akan terus berjaya kerana mampu menjaga kemajmukan kaum di negara ini.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat negeri ini terus bersama-sama dengan kepimpinan Ahmad Bashah menyokong kemajuan dan pembangunan di Kedah khususnya di Padang Serai.

"...dan untuk hadiran dan hadirin, kita mahu rakyat di sini (Padang Serai) juga harus berlaku adil kepada diri kita sendiri untuk bertukar supaya memberikan kepercayaan kepada calon-calon Barisan Nasional di dalam pilihan raya umum nanti," katanya.

Kerusi Parlimen Padang Serai disandang N.Surendran daripada PKR.

-- BERNAMA