Sesi taklimat pilihan raya untuk media di Kuching

KUCHING 15 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengadakan sesi taklimat khusus berkaitan perjalanan proses pilihan raya kepada pengamal media di Sarawak di Mini Studio Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Jalan P. Ramlee di sini.
Kira-kira 100 pengamal media tempatan daripada pelbagai agensi menghadiri sesi taklimat selama lebih tiga jam disampaikan oleh dua Penolong Pengarah Akademi Pilihan Raya SPR, Aina Osman dan Amer Saufwan Morazuki.
Aina mengendalikan sesi berkaitan pendaftaran pemilih dan calon, serta perkara-perkara yang boleh dan dilarang dilakukan mereka semasa mengundi, manakala Amer mengendalikan sesi simulasi di pusat mengundi pada hari pengundian.
Amer berkata Sarawak merupakan lokasi kelima pihaknya mengadakan taklimat pilihan raya selepas Kelantan, Terengganu, Pahang serta Selangor, dan menurutnya selepas ini taklimat akan diteruskan ke negeri Sabah, diikuti Perlis, Pulau Pinang dan Kedah.
Bercakap kepada media ketika ditemui di luar sesi taklimat itu, beliau berkata, sesi taklimat itu tidak semestinya diadakan di semua negeri, namun pihaknya akan berusaha memenuhi setiap undangan sekiranya ada permohonan daripada pihak SPR negeri.
Beliau berkata taklimat seumpama ini memang sentiasa diadakan, terutama apabila menjelang pilihan raya umum atau negeri, khusus untuk memberi pendedahan kepada semua pihak yang berkaitan berhubung perjalanan proses pilihan raya di negara ini.
-- BERNAMA